DO NOT MISS

Wednesday 7 January 2015

Maulidur Rasul: Hayatinya lebih mendalam


SETIAP tahun kedatangan Maulidur Rasul disambut penuh makna di negara-negara Islam seluruh dunia tidak terkecuali Malaysia. Tahun ini, dengan mengangkat tema Perpaduan Nadi Transformasi Negara, sambutan Maulidur Rasul diteruskan lagi dengan penuh penghayatan.
Bagi Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan, Maulidur Rasul semestinya mempunyai makna besar kepada seluruh umat Islam di dunia.

Jika hari ibu, hari bapa dan hari-hari lain yang disambut secara besar-besaran di negara ini, wajarnya Maulidur Rasul diraikan dengan lebih meriah berbanding hari-hari tersebut.

"Ia merupakan tanda ingatan kita kepada Nabi Muhammad SAW, jadi sebagai umat Islam memang patut kita menyambutnya," katanya.

Jelasnya, dia bagaimanapun meminta masyarakat supaya menghayati Maulidur Rasul dengan lebih mendalam bukan sekadar meraikannya sahaja.

"Misalnya, apabila terlibat dengan perarakan, menghadiri ceramah-ceramah atau forum terlibat, kita perlulah tahu sedikit sebanyak atau latar belakang mengenai hari ini dan kelahiran Nabi Muhammad sendiri.

"Dengan adanya pengetahuan mengenai Rasulullah, saya yakin sambutan yang diadakan menjadi lebih bermakna kepada umat Islam yang terlibat," katanya.

Tambah Hassan, tanpa perjuangan Rasulullah tidak mungkin kita umat Islam mampu hidup dengan aman damai seperti kini.

"Pengorbanan dan jasanya tidak terbalas, tanpanya mungkin kita masih hidup di zaman jahiliah.

"Harapan saya, perjuangan dan sunnah-sunnahnya akan terus menjadi panduan dalam hidup ini," katanya.


Tanam azam dan matlamat - Heliza Helmi
Bagi penyanyi manis ini, rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW yang sering diluahkan oleh umat Islam haruslah seiring dengan perbuatan.

Kata Nur Heliza Helmi atau lebih dikenali sebagai Heliza Helmi ini, pesanan ustaznya masih menjadi amalan sehingga ke hari ini.
"Beliau pernah memberitahu, sebagai umat Islam kita harus mempunyai azam dan matlamat untuk ditanam dalam diri.

"Seperti yang kita luahkan, rindukan Nabi, cintakan Nabi, kata-kata yang lahir ini seharusnya dikuatkan dengan azam dan matlamat.

"Barulah kita mampu mencintai Nabi dengan sebenar-benarnya," ujarnya.

Bicara bintang Akademi Fantasia musim kelima ini, untuk merealisasikan rasa cinta dan sayang kepada Nabi, pelbagai cara boleh dilakukan.

"Bukan sahaja mengamalkan sunnah-sunnah Nabi, kita juga boleh mengikut cara baginda.

"Lakukan segala kebaikan seperti yang baginda pernah lakukan kepada umat Islam.

"Malah, dalam keadaan negara kita yang terjejas teruk kerana bencana banjir ini, banyak perkara baik boleh dibuat seperti bersedekah dan membantu golongan memerlukan yang mana semua ini pernah dilakukan baginda yang sering membantu umat Islam di dalam kesusahan ketika di zamannya," katanya.

Tambah Heliza lagi, menerusi laman sosial juga umat Islam boleh sepakat dan bersama-sama menunjukkan rasa kasih kepada baginda lebih-lebih lagi apabila tibanya hari kelahiran baginda.

Dalam pada itu, Heliza turut terlibat dengan beberapa program sempena Maulidur Rasul tahun ini sebagai penceramah jemputan dan menghadiri masjid-masjid yang menganjurkan sambutan hari tersebut.


Semai sejak awal - Yatt Hamzah

Sementara Yatt Hamzah berkata, sambutan Maulidur Rasul perlu diraikan bermula dari rumah supaya dapat disemai sejak  awal.

"Apa yang kita lihat, sambutan hari lahir misalnya, diraikan dalam suasana cukup meriah oleh segelintir individu.

"Sama seperti saya, apabila mengadakan majlis hari lahir anak, saya akan sediakan makanan yang sedap-sedap dan pastikan majlis tersebut cukup sempurna.  Malah persediaannya juga telah dibuat daripada awal.

"Inikan pula untuk meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, rasanya hari tersebut cukup hebat jika dibandingkan hari-hari lain yang perlu diraikan. Memang agak sedih apabila ada yang tidak meraikan atau menyambutnya dengan penuh rasa cinta," katanya.

Jelas Yatt, meskipun ramai yang mengucapkan cinta dan rindukan Nabi tetapi biarlah ia diucapkan dengan penuh erti bukan sekadar di bibir sahaja.

"Bila kita melakukan sesuatu kebaikan, kita niatkan demi kelahiran baginda, secara tidak langsung kita turut mendapat pahala.

"Malah sehari sebelum Maulidur Rasul kita sepatutnya sudah mula melakukan perkara-perkara kebaikan sempena meraikan hari yang mulia ini," katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Suci Hanania Malika ini sempat berpesan kepada masyarakat supaya mengamalkan sunnah-sunnah Nabi bukan sahaja di hari lahir baginda.

"Apabila di hari biasa kita sudah mengikut sunnahnya, pastinya ia akan terus menjadi amalan dalam diri kita.

"Jika Nabi seorang yang sangat sukakan kebersihan dan kecantikan, kita sebagai pengikutnya, perlu mengikut perbuatan tersebut," katanya yang banyak mendapat undangan sebagai penceramah pada majlis Maulidur Rasul sejak berhijrah.
 
 

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia