DO NOT MISS

Friday 6 February 2015

Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014


PERSEMBAHAN mantap daripada kumpulan Zero melayakkan kumpulan dari Sabah ini dijulang sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014.

Kumpulan yang dianggotai tiga adik beradik itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 dan trofi sumbangan Astro dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam tadi.

Gelaran naib juara pula menjadi milik kumpulan Sepahtu yang turut memberikan persembahan mencuit hati sekali gus memenangi RM250,000 serta trofi.

Satu-satunya peserta solo, Nabil berjaya mendapat tempat ketiga yang membawa pulang RM150,000 dan trofi.

Sementara itu, tempat keempat dimenangi kumpulan Shiro yang memenangi RM50,000 beserta trofi dan Bocey yang dinobatkan pemenang kelima tidak pulang dengan tangan kosong turut membawa pulang RM15,000 beserta trofi.

Manakala man of the match pada malam final ini telah dimilikki oleh Jep Sepahtu .

Kesemua persembahan bertemakan muzikal dan bebas itu diadili oleh empat juri tetap iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Taufik Batisah, Farah Quinn dan Nur Fazura yang mewakili 70 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Maharaja Lawak Mega 2014 telah dihoskan oleh Datuk AC Mizal.

MARINA SAHABUDIN

Majlis resepsi Aeril, Wawa Zainal meriah


MAJLIS resepsi pasangan selebriti popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal pada 31 Januari lalu berlangsung meriah.
 ‎
Majlis persandingan yang diadakan di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSK) ini adalah bersempena Malaysian International Wedding Festival (MINWEF) yang mana pasangan itu telah dilantik sebagai duta festival perkahwinan tersebut.

Menerusi foto yang dikongsikan, majlis tersebut berlangsung mengikut adat dengan lengkap diiringi kompang serta diadakan majlis memotong kek.

MH Online


Yana Samsudin nikah 13 Februari depan


PELAKON popular, Yana Samsudin mengumumkan bakal mengakhiri zaman bujangnya bersama kekasih hati, Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015. 

Memetik laporan yang dikongsikan bersama peminat, majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Yong Peng, Johor manakala majlis resepsi akan diadakan pada keesokan harinya di lokasi yang sama. 
 
Memetik kenyataan yang dikeluarkan juga, Yana menjelaskan Fadzil telah menghantar rombongan meminang pada 14 Disember lalu tanpa pengetahuannya. 
 
“Ketika itu, saya sibuk dengan separuh akhir Anugerah Juara Lagu. Saya tahu selepas tiga hari Fadzil menghantar rombongan meminang, itu pun saya terima gambar melalui WhatsApp. Macam nak luruh jantung saya! Sebelum ini Fadzil beritahu mahu bertemu keluarga di Yong Peng," ujar pelakon ini.

MH Online

Beego-Linda bergilir jaga anak


PASANGAN selebriti ini mengakui kehidupan mereka lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata tercinta, Jelita Clarissa, 9 bulan.

Menurut Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 34, tiada apa yang lebih bererti dalam melayari rumah tangga apabila dikurniakan puteri sulungnya itu.

Lebih dikenali sebagai Beego, katanya, dia dan isteri, Linda Hashim, 31, lebih selesa menguruskan anak mereka sendiri dan tidak akan sesekali meninggalkannya dengan pengasuh buat masa ini.

"Kami memang tidak berani untuk meletakkan Jelita di bawah jagaan pengasuh.
"Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini banyak kejadian-kejadian kurang baik yang berlaku di kalangan anak-anak di bawah jagaan pengasuh mereka.

"Jadi lebih baik kami berhati-hati sebelum perkara tersebut terjadi kepada anak kami," katanya turut mendapat bantuan keluarga menjaga Jelita.

Jelas pelakon drama bersiri Pulang Sayang ini, sebelum ini dia tidak mengalami kesukaran menguruskan Jelita kerana bercuti daripada berlakon buat seketika.
"Kebetulan ketika itu isteri juga tidak bekerja, jadi kami punya banyak masa untuk menjaganya.

"Cuma sekarang, bukan sahaja saya, sebaliknya isteri juga mendapat tawaran lakonan dalam masa sama," ujarnya.

Dalam pada itu, Linda turut mengakui, kerana bimbang meninggalkan Jelita di rumah bersama pengasuh, dia telah mengupah dua orang pembantu untuk menjaga anaknya itu di lokasi penggambaran.

"Jelita masih bayi dan menyusu badan. Dalam usianya yang sedang membesar, sukar untuk saya tinggalkannya.

"Kerana itu saya mengambil inisiatif untuk mencari pembantu dan membawa mereka ke lokasi.

"Selain memudahkan saya memantau keadaan anak, saya juga tidak perlu berasa bimbang," jelasnya.

Kongsi pelakon Ayahku Kahwin Lagi ini, dia sebenarnya sangat lega kerana pihak produksi memberi kepercayaan kepadanya untuk membawa anak ke tempat kerja.

"Mula-mula risau juga, tetapi syukur pihak produksi sangat memahami. Malah anak saya juga tidak banyak ragam ketika di bawa bersama.

"Bagaimana pun, ini bukan bererti saya akan kembali aktif berlakon buat masa terdekat. Sebaliknya, saya hanya cenderung memilih kerja-kerja yang tidak memerlukan saya meninggalkan anak dalam masa yang lama.

"Selepas anak besar sedikit barulah saya akan terima projek yang lebih besar," katanya yang baharu sahaja muncul dengan drama komedi terbaru berjudul Anak Ke 5 di TV9.

Tanggungjawab besar

Meskipun rezeki Beego dalam bidang lakonan masih rancak, namun dia sedar sebagai seorang bapa dia perlu mencari pelbagai alternatif untuk memastikan kehidupan keluarganya terjamin.

Katanya, kerana itu dia sedang berjinak-jinak untuk menceburi bidang perniagaan.
"Bidang lakonan ada pasang surutnya, sekarang tengah popular, bila dah berusia mungkin akan kurang tawaran yang diterima.

"Sebelum apa-apa berlaku, saya perlu bersedia. Lagipun saya sedar tanggungjawab terhadap keluarga semakin besar," katanya.

Kerana itu, Beego juga tidak kisah jika terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan dalam masa yang sama.

"Apa yang saya lakukan semata-mata untuk kebahagiaan isteri dan anak. Saya tidak kisah penat demi kepentingan mereka," kata bekas kumpulan Phyne Ballerz ini.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, selain muncul menerusi drama bersiri Keluarga Karaoke di Astro Prima 9 Februari nanti, dia juga dalam perancangan untuk kembali bersama Phyne Ballerz.

"Salah seorang ahli kumpulan Nine, telah menyuarakan untuk kami membuat 'comeback' dan lahirkan single baru.

"Saya menyambut baik cadangannya dan kami telah berbincang mengenai perkara ini.

"Apa pun, kami mahu mencari lagu yang benar-benar sesuai kerana pendengar masa kini berlainan selera mereka," katanya berharap peminat menerima kehadiran mereka kembali.

MARINA SAHABUDIN


Nurul rakam foto keluarga


TANGGAL 15 Januari lalu, penyanyi Nurul Depp selamat melahirkan putera keduanya, yang diberi nama Raphael Depp hasil perkahwinan bersama Eric Daniel Depp.

Bagi meraikan orang baru dalam keluarga itu, Nurul telah menjalani satu sesi fotografi bersama Camora Arts.

Tampil dengan konsep tersendiri, Nurul tidak ketinggalan merakamkan potret bersama keluarganya.

Kredit
Wartawan Sinar Harian

Jimmy Shanley: Saya semakin bahagia


KEMELUT antara Jimmy Shanley dan bekas isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy, nampaknya tidak pernah berakhir meskipun masing-masing sudah membawa haluan sendiri.  

Terbaharu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, yang mengenakan hukuman penjara tujuh hari terhadap Nursuhaila atas kesalahan mengingkari perintah mahkamah berhubung hak lawatan dan bermalam anak pasangan itu, kembali mengejutkan masyarakat.

Tampil membela diri, Nursuhaila mendakwa Jimmy tidak pernah mengambil tahu mengenai anak mereka, Zahrah Rania, 5, termasuk gagal memberikan nafkah.

Bagaimanapun,  Jimmy yang ditemui selepas pelancaran Astro Go Shop, Jumaat lalu, lebih selesa mengambil langkah berdiam diri dari membalas kenyataan itu.  

“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa pasal ini. Nantilah, saya akan buat satu sidang media khas bagi menjelaskan semua persoalan.

Jimmy dan Nursuhaila Eliani bernikah pada 1 Oktober 2010 dan berpisah pada 10 Oktober 2012.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi hak penjagaannya kepada bekas isterinya itu.

Beralih mengenai kehidupannya kini, pengacara berusia 35 tahun itu mengakui dia semakin bahagia dengan perkahwinan keduanya, Mariam Jamilah Abdul Jalil, pada 7 Jun lalu.

“Alhamdulillah, kehidupan sekarang sangat bahagia. Kehidupan saya kini lebih teratur, apatah lagi isteri adalah penyokong kuat saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jimmy kini semakin sibuk sebagai pengacara di Astro Go Shop selain bertugas sebagai  penyampai radio di Ultra FM.

“Alhamdulillah, semua ini rezeki lebih-lebih dengan kerjasama dari Astro dan Ultra FM, saya mampu buat terbaik untuk semua ini.

“Sebagai pengacara Astro Go Shop, saya cuba menyampaikannya dengan fakta yang tepat selain menyelitkan elemen hiburan agar penonton berasa seronok untuk menontonnya,” katanya.

NORHIDAYYU ZAINAL


 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia