DO NOT MISS

Sunday 14 September 2014

Ridzuan ‘imam’ Azura

Doanya di Tanah Suci Makkah semoga dipertemukan jodoh yang mampu membimbingnya, dimakbulkan Ilahi apabila beRgelar isteri pada 1 Ogos 2014.

Walaupun berbeza usia 21 tahun, ia bukan halangan untuk personaliti TV9, Norazura Abu Samah, 31, menyambut kasih dihulurkan rakan setugas, Mohd Ridzuan Rafflis, 52, yang juga Penerbit Eksekutif di Jabatan Berita TV9.
Pasangan itu diijabkabul pada 1 Ogos lalu di N’dah Mahligai, Shah Alam dihadiri keluarga terdekat dan diraikan pada 22 Ogos lalu bersama kira-kira 500 jemputan terdiri daripada saudara mara dan sahabat karib di tempat sama.

Azura yang mula dikenali selepas menyertai Pesona Nona anjuran TV3 kemudian menjadi pembaca berita TV9, bersyukur kerana Allah SWT perkenankan doanya ketika menunaikan umrah pada 2012.


Katanya, ketika itu dia patah hati dan berdoa dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjadi imamnya.


“Saya juga tidak mahu bercinta lama-lama, kalau jumpa mahu terus kahwin. Bagi saya, bercinta selepas disatukan lebih manis.

“Pulang dari Makkah, saya cuba perbaiki diri dan dekatkan diri dengan Allah. Ridzuan mendorong saya dan banyak mengajar saya ilmu agama,” katanya.

Azura akui sudah lama mengenali satu sama lain kerana sama-sama bertugas di Media Prima tetapi rapat sejak setahun lalu, tanpa sedar perasaan sayang tiba-tiba hadir.

“Saya percaya Allah pinjam-kan perasaan itu kepada kami dan apabila dia suarakan perasaannya, saya bawa dia bertemu ibu bapa saya.

“Pada mulanya orang tua terkejut kami apabila dimaklumkan beza usia kami 21 tahun tetapi selepas bertemu sendiri dengan Ridzuan, mereka dapat terima.

“Ibu dan ayah saya nampak kesungguhan Ridzuan apabila dia turut bawa cincin dan kami terus bertunang pada hari itu.

“Hubungan kami hanya diketahui saudara mara serta rakan-rakan apabila kad kahwin diedarkan Ramadan lalu. Ini perkahwinan pertama saya manakala kedua buat Ridzuan,” katanya.

Berbicara lanjut jurang usianya dengan suami, Azura berkata, ia sekadar angka dan tidak menjadi masalah. Apa yang penting baginya, kehidupan di akhirat kelak kerana Ridzuan ada kualiti lelaki yang mendahulukan agama dalam apa juga konteks kehidupan.

“Ada apa dengan usia kerana di akhirat nanti umur kami sama. Saya mahukan kualiti dan dia ada itu. Lagipun saya tahu Allah SWT datangkan dia bersebab.

“Mungkin dia insan paling tepat mendorong saya mendekatkan diri dengan jalan diredai Allah,” katanya yang akan menunaikan umrah sebelum berbulan madu di Australia tahun depan.

Azura memilih bernikah pada bulan Syawal kerana mahu sama seperti kakak dan ibunya yang turut bergelar isteri pada bulan mulia. Lebih bermakna apabila majlis resepsinya diadakan pada hari ulang tahun perkahwinan ibu bapanya yang ke 34 tahun.

Graduan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang menjayakan hari pentingnya terutama sahabat karib, Fitri Musa yang bersungguh-sungguh merealisasikan tema idamannya.

“Perkahwinan dalam taman yang disuntik elemen kisah dongeng tema pilihan saya. Fitri bertanggungjawab sebagai perancang perkahwinan saya dan dia berjaya menzahirkan majlis impian saya.

“Hasilnya sama seperti apa yang saya bayangkan. Saya juga berpuas hati dengan persalinan rekaan Ameer Mishael dan baju akad nikah yang disediakan N’Dah Catering & Wedding Planner.

“Begitu juga pihak lain yang terbabit, kerja keras mereka sa-ngat saya hargai,” katanya yang menerima mas kahwin RM21,000 dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Oleh Shakilawati Abd Rahman

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia