DO NOT MISS

Wednesday 7 January 2015

Yatt Hamzah: Makin rancak berniaga


BIDANG perniagaan terus menjadi pilihan selebriti tempatan, tidak terkecuali model, bekas pelakon dan pengacara popular ini.
Mengakui masih mentah dalam bidang perniagaan busana Muslimah yang diusahakannya sejak dua tahun lalu, Haryati Hamzah berharap 2015 berjaya merealisasikan impian untuk melihat bisnesnya lebih berkembang tahun ini.

Lebih dikenali sebagai Yatt Hamzah, jelasnya, sambutan menggalakkan yang diterima daripada pelanggan, menyuntik semangatnya untuk mengembangkan lagi perniagaannya dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah, perniagaan yang diusahakan berjalan dengan lancar dan saya tidak menyangka ia mendapat respons positif sejak pertama kali dijalankan.

"Nampaknya, pilihan saya untuk menyertai bidang ini tepat dan berhasil," katanya.

Akui pelakon filem Impak Maksima ini, kerana kejayaannya setakat ini, dia bakal membuka dua butik baru yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam dan Wangsa Melawati.

"Saya nekad membuka butik tersebut bagi kemudahan pelanggan dan peminat sekitar Lembah Klang, lagipun permintaan yang lebih meluas menyukarkan mereka mendapat produk yang dijual jika hanya terdapat di sesebuah lokasi sahaja," katanya.

Menurut Yatt juga, dia gembira apabila busana Muslimah semakin mendapat perhatian di kalangan wanita-wanita Islam di negara ini.

"Selain mahu mereka tampak anggun, saya juga mahu mendidik mereka supaya berfesyen mengikut syariat Islam.

"Tidak salah berfesyen selagi ia mengikut tuntutan agama dan saya sendiri selain menjualnya sentiasa mahu pelanggan mendapat kepuasan dengan setiap busana yang terdapat dalam koleksi Suci by YattHamzah.

Di aju pertanyaan adakah dia sudah melupakan bidang lakonan, jelas Yatt, bukan tidak rindu bergelar pelakon tetapi dia perlu bijak dan selektif menerima apa sahaja tawaran yang diberikan.

"Memang sebelum ini saya menerima tawaran berlakon, tetapi kerana kurang sesuai, saya terpaksa menolaknya.

"Jadi bila terlalu kerap menolak, ada yang anggap saya sudah berhenti berlakon.
"Bagaimanapun, saya tidak kisah kerana punya komitmen lain yang perlu diutamakan," katanya masa banyak dihabiskan untuk keluarga dan perniagaan kini.

Sedikit perkembangan terbarunya, ibu kepada Suci Hanania Malika masih lagi aktif sebagai pengacara bagi pelbagai program bual bicara dan hos jemputan.


MARINA SAHABUDIN

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia