DO NOT MISS

Saturday 11 October 2014

Erin Malek sah bergelar isteri Farriz Fauzy



MENGIKAT tali pertunangan pada 21 Jun yang lalu, tanggal 10 Oktober dipilih oleh pelakon Erin Malek dan Farriz Fauzy untuk diijabkabulkan. Tepat jam 9.12 malam tadi, dengan hanya sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami isteri.

Terlebih dahulu, majlis pernikahan yang mulanya dijadualkan diadakan di Hotel InterContinental Kuala Lumpur telah ditukar ke rumah ibunya, Harryzah Hassan di Duta Suria Residency, Ampang atas permintaan keluarga.

Dalam majlis pernikahan ini, pihak pengantin lelaki telah menyerahkan tujuh dulang hantaran berupa sirih junjung, mas kahwin RM10,000 beserta duit hantaran berjumlah RM30,000 dan cincin, al-Quran dan sepasang telekung, seutas jam, beg tangan dan sepasang kasut, barangan kosmetik dan set wangian serta manisan.

Manakala, pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang berupa tepak sirih, cincin, Al-Quran dan sejadah, seutas jam, sepasang sut, beg dan tali pinggang, set wangian, sepasang kasut dan kek.

Pasangan ini telah memilih Azura Couture untuk penyediaan persalinan pernikahan dan dipadankan dengan solekan yang minimalis dan elegan oleh Syedewa. Tema pelamin berkonsepkan ‘Sweet Garden’ disediakan oleh Zaha Wedding Planner.

Majlis pernikahan ini dihadiri oleh 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, kenalan rapat serta pihak media akan menyaksikan saat-saat indah tersebut.

Editorial MH

Thursday 9 October 2014

Che Ta: Saya risau



MASA pantas berlalu dan siapa sangka kurang dua minggu sahaja lagi pelakon jelita, Rozita Che Wan dijangka melahirkan cahaya mata pertama hasil perkahwinan kedua bersama aktor, Zain Saidin.

Bukan sahaja pasangan bahagia ini, malah keterujaan menyambut kelahiran ini turut dirasai seluruh peminat setia mereka.

Berkongsi pengalamannya, aktres yang mesra disapa Che Ta ini mengakui biarpun teruja dia turut merasa berdebar menanti saat melahirkan nanti.

“Walaupun sebelum ini ada pengalaman, tetapi ia berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Mungkin saya juga sudah lupa rasa sakit untuk melahirkan. 

“Perasaan teruja itu memang ada, tambahan pula kali ini kami bakal menimang bayi perempuan dan saya memang tidak sabar menunggu saat itu,” ujarnya.

Menarik mengenai kehamilannya kali ini, pasangan romantis ini telah memberikan kepercayaan kepada pihak Astro merakamkan saat-saat indah menyambut cahaya mata mereka menerusi program Pureen Chak Chak.

“Dalam soal ini kami tidak ada sebarang syarat kerana kami percaya pihak produksi tahu had mereka.

“Kalau diikutkan paparan visual yang akan diambil tidaklah terlalu terperinci, jadi ia tidak beri sebarang masalah kepada kami.

“Walaupun tidak terlalu banyak, tapi inilah peluang kami berkongsi kebahagiaan ini bersama peminat,” tuturnya.

Pada masa yang sama, Che Ta turut mendedahkan dirinya sering mengamalkan membaca surah Mariam dan Yusuf sebagai persediaan dalam proses kelahiran.

“Saya rasa amalan ini memang semua wanita amalkan dan saya harap semuanya akan dipermudahkan.

“Selain itu, salah seorang teman saya ada belikan akar bunga Fatimah dari Makkah dan dia cadangkan saya untuk minum air rebusannya ketika sudah sampai masa proses melahirkan,” katanya.

NINA FARZUIN MD SHAROM

Wednesday 8 October 2014

Annabelle: Misteri patung vintaj


BAGI anda yang pernah mengikuti filem ‘The Conjuring’ arahan James Wan tahun lalu, pasti masih merasai keseraman dan kejutan yang disuntik Wan di dalam filem ketujuhnya itu.
‘The Conjuring’ merupakan filem yang mengangkat tema seram, suspen dan ‘thriller’ yang jalan ceritanya dikatakan diangkat dari kisah sebenar kehidupan sebuah keluarga yang mengambil latar masa pada tahun 1970-an.
Atas kejayaan filem tersebut yang mendapat kutipan pecah panggung sehingga RM600juta berbanding kos pembikinan filem yang dianggarkan sekitar RM60juta sahaja, James Wan sekali lagi bertindak sebagai penulis menggarap naskhah terbaru, Annabelle.
Annabelle juga dikatakan di ambil dari kisah benar mengenai sebuah patung vintaj yang penuh misteri.

Bagaimanapun naskhah kali ini diarahkan oleh John R. Leonetti dan membariskan barisan pelakon seperit Annabelle Walli, Alfre Woodard, dan Eric Ladin.
Annabelle mengisahkan kehidupan Mia dan John, sepasang suami isteri yang diganggu oleh makhluk halus yang dipercayai berpunca dari sebuah anak patung yang dibeli oleh John dan dibawa ke rumah.
Beberapa kejadian pelik dan menyeramkan mulai menyelubungi kehidupan mereka.
Biarpun trailer filem ini mampu menyuntik rasa seram dan memberi keinginan untuk anda menontonnya di pawagam, namun nasihat penulis, jangan meletak harapan yang tinggi.
Ini kerana, kedua-dua kisah seram ini digarap oleh pengarah yang berlainan dengan cerita yang pelakon yang berlainan.
Biarpun mempunyai kesan bunyi yang cukup membuatkan jantung anda berdebar, namun debaran dan kejutan itu tidak lama dan lebih mengecewakan keseluruhan filem ini berbeza dengan impak filem The Conjuring.

 
Plot boleh di agak
Kelemahan utama filem ini adalah plot penceritaan yang sudah boleh di agak dari mula hingga akhir.
Leonetti gagal mengekalkan kecemerlangan Wan menerusi Annabelle biarpun patung vintaj itu sendiri mempunyai satu kisah yang cukup kuat.
Apatah lagi, dengan muka yang menakutkan, ia mampu membuatkan anda rasa meremang sekiranya merenung patung itu lebih lama.

Lakonan mantap

Bagaimanapun mujur Leonetti mempunyai barisan pelakon yang cukup mantap dan meyakinkan dalam menjayakan watak masing-masing.
Penghayatan watak yang cukup berjaya itu akan membuatkan anda masih merasa debaran itu walaupun tidak cukup kuat apabila melibatkan babak seram.
Pujian juga harus diberikan kepada Walli yang berjaya melakonkan wataknya sebagai Mia dengan baik sekali.
Bagi anda yang meminati filem seram dan pernah menonton The Conjuring, rasanya anda perlu untuk menonton filem ini di pawagam.

AQMAR MUSTAZA

Tuesday 7 October 2014

Ayda Jebat beri penjelasan


"SAYA dan Zul tidak ada sebarang hubungan istimewa. Kami tampak mesra sebegitu hanya sekadar memenuhi permintaan peminat yang datang dan sanggup berpanas kerana mahu berjumpa kami," jelas Ayda Jebat mengenai aksi mesranya bersama Zul yang dirakam peminat di sebuah majlis kereta kebangsaan, Proton, baru-baru ini.

Menurut Ayda lagi, dia dan Zul hadir pada majlis berkenaan selepas di undang oleh Proton dan tidak menyangka ramai peminat drama Rindu Awak 200% berada di situ.

"Drama itu sudah sebulan berakhir, tapi saya tidak sangka penangannya masih dirasai. Saya terharu melihat mereka sanggup beratur pajang di bawah bahang matahari semata-mata mahu bergambar dengan kami.

"Dan 'pose' yang kami buat pada hari itu hanya kerana Zill Faezrul dan Armel Aisya. Bukan kerana saya dan Zul mempunyai hubungan istimewa," ujarnya kepada Zass.

Ayda berkata, dia juga sedia maklum bahawa Zul kini sudah mempunyai kekasih dan tidak tegar untuk menjadi orang ketiga dalam perhubungan itu.

"Saya akui ada peminat yang mahu kami menjadi kekasih, tapi bukan semua permintaan mereka dapat ditunaikan.

"Bagi yang mengkritik saya kerana gambar itu, atau tampak terlalu mesra, saya minta maaf. Seperti saya katakan tadi, ia hanya sekadar memenuhi permintaan peminat sahaja," katanya yang akan tampil dalam sebuah telefilem bersama Zul iaitu, Lokum Untuk Mama.

Dalam pada itu, Ayda berkata, dia akan ke Jakarta dua hari lagi bagi menjalani penggambaran telefilem produksi Indonesia berjudul 'From Haters To Lover'.

Menerusi telefilem itu, Ayda akan bergandingan bersama pelakon Indonesia, Dimaz Aditiya.

"Saya tak sangka memperoleh kesempatan seperti ini, ia bakal menjadi pengalaman bermakna buat saya. Selain itu, tidak lama lagi, saya juga akan terlibat dengan penggambaran drama muzikal terbitan syarikat produksi Afdlin Shauki.

Sementara itu, di tebak mengenai karier nyanyiannya, Ayda berkata, dia merancang untuk mengeluarkan sebuah single, namun segalanya masih dalam perancangan.

AQMAR MUSTAZA


 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia