DO NOT MISS

Friday 16 January 2015

Gandingan pertama Faizal & Nora


JIKA diselak profil syarikat penerbitan terkenal, Metrowealth International Group (MIG), wanita ini merupakan salah seorang pengarah yang aktif dalam mempertaruhkan karya-karya sentuhannya.
Tampil dengan filem, Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Aku Terima Nikahnya, Bencinta, 2 Kalimah dan Pengantin Malam, kini Eyra Rahman kembali memberi hidangan kepada penonton di pawagam dengan filem terbaharunya, Gudang Kubur.

Bakal menghantui pawagam pada 12 Februari depan, ia merupakan filem ketiga terbitan Mangkin Prestij Sdn Bhd selepas dua filemnya sebelum ini iaitu, Ia Wujud dan Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.


Walaupun filem ini bukanlah karya seram pertamanya, namun akui Eyra, bukan mudah untuk menjayakan sesi penggambaran.


Menurutnya, cabaran yang paling besar yang perlu dihadapinya adalah untuk mendapatkan lokasi.


“Untuk filem ini, saya perlu mendapatkan gudang atau kilang yang kelihatan seram dan misteri.


“Walaupun banyak lokasi yang menjadi pilihan, namun ada yang sukar untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik.


“Alhamdulillah, proses penggambaran berjalan dengan lancar dan tiada sebarang gangguan yang berlaku,” katanya yang mengambil masa selama 18 hari untuk penggambaran di sekitar Lembah Klang.


Selain itu, Eyra memberitahu proses penggambaran filem ini amat menguji ketahanan fizikal dan emosinya kerana di saat itu dia tengah hamil.


“Penggambaran dilakukan pada pertengahan tahun lalu dan ketika itu saya tengah sarat mengandung.


“Selepas seminggu selesai penggambaran, saya melahirkan anak. Memang situasi itu sangat mencabar kerana saya terpaksa bawa perut ke lokasi,” katanya lagi.
 
Percintaan lebih matang
 
Mengisahkan mengenai pasangan suami isteri, Anwar dan Zarra, Eyra memilih pelakon ternama, Nora Danish dan Faizal Hussein.

Katanya, pemilihan pelakon dibuat sendiri setelah meneliti tuntutan watak dan jalan cerita.

“Filem ini mengisahkan pasangan suami isteri Anwar dan Zarra yang mengalami pelbagai kejadian mistik selepas membeli sebuah gudang untuk perniagaan jubinnya.

“Namun mereka tidak menduga bahawa gudang tersebut menyembunyikan satu rahsia sehingga menimbulkan konflik dalam rumah tangga.


“Kehadiran pasangan ini juga tidak disenangi ‘sesuatu’ yang sekian lama mendiami gudang kosong itu,” katanya.


Bertepatan dengan jalan cerita, Eyra memberitahu dia ingin menerapkan percintaan yang lebih matang.


“Saya memang mahukan pelakon yang lebih berusia untuk digandingkan dengan Nora dan Abang Faizal adalah orang yang tepat.


“Nora dan Abang Faizal memberikan kerjasama yang baik dan saya senang bekerja dengan mereka.



“Selain itu, saya juga berpuas hati dengan lakonan, Atikah Suhaime dan Nizam Zaidi dalam menghayati watak berat. Mereka adalah pelakon baharu yang berbakat,’ katanya lagi.
 
Sasaran kutipan?
 
Melihat kelembapan kutipan filem di pawagam sejak akhir-akhir ini sebagai cabaran untuk pengarah sepertinya, Eyra amat mengharapkan penonton.

“Saya memang takut dengan situasi perfileman sekarang di mana kutipan yang diterima ada kalanya tidak dapat menandingi modal yang dikeluarkan.


“Sebagai pengarah, sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk karya saya dan penonton dapat menghayati penceritaan itu.


“Saya tidak berani meletakkan satu harapan yang terlalu tinggi, namun sudah cukup sekiranya filem ini mampu mengikut rapat jumlah kutipan filem terdahulu saya, Pengantin Malam yang berjaya meraih hampir RM2 juta,” katanya lagi.


Berkongsi perkembangan lain, Eyra memberitahu, filem arahannya, Suamiku Jatuh Dari Langit, bakal menemui penonton tidak lama lagi.


Selain itu, dia bakal diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem, Badi, untuk tontonan yang akan datang.
 
Filem seram pertama Faizal
 
Kehebatan pelakon berkaliber ini tidak perlu diragui lagi dalam bidang lakonan, malah, kemenangannya di Festival Filem Malaysia ke 25, menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, melakar nama Faizal Hussein, di tahap yang tersendiri.

Berjaya mengekalkan popularitinya dari zaman Gila-Gila Remaja sehingga kini, anak Allahyarham seniman Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail ini kekal mendapat kepercayaan ramai pengarah dan penerbit.


Menyentuh mengenai filem ini, Faizal, 47, memberitahu bahawa ia adalah filemnya yang ke 44 dan sekaligus filem seram pertamanya.


“Saya sangat teruja bila mendapat tawaran ni kerana ini kali ketiga saya kerja dengan pengarah wanita, pertama kali bergandingan dengan Nora Danish dan saya kembali dapat berlakon dengan pelakon filem, Longkai.


“Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Anuar, seorang tauke gudang yang menjalankan perniagaan di atas tanah kubur.


“Ianya adalah satu jalan cerita yang menarik dan mencabar kemampuan saya dalam genre seram,” katanya.

Kredit

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia