DO NOT MISS

Tuesday 30 December 2014

Malam Cinta Rasul sempena tahun baharu



BAGI memberi suntikan kelainan, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bakal diserikan dengan bacaan qasidah dan selawat nabi serta doa khas sempena sambutan Malam Tahun Baharu 2015 (malam ini).

Program tersebut dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), TV AlHijrah dan Pertubuhan Kebajikan dan Rekreasi Richworks Group Sdn. Bhd. (Richwell).

Malam Cinta Rasul 2015 bertemakan ‘Kenali, Dekati dan Cintailah Rasul’ akan menampilkan ikon agama dan pendakwah terkenal dari Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf di samping tazkirah serta selawat nabi oleh Habib Ali Zainal Abidin serta diiringi oleh kumpulan nasyid tempatan Inteam dan Al-Mawlid.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee memberitahu program ini dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 umat Islam terutama golongan muda.

"Aktiviti ini memberi mereka pilihan untuk memupuk rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW sejajar dengan objektif program

iaitu mengumpulkan generasi muda dan remaja serta mendedahkan mereka dengan hiburan segar yang positif.

"Kami menjemput segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang mempunyai pelbagai pengisian ini dan sama-sama kita dekatkan diri dengan Pencipta," katanya.

Malam Cinta Rasul 2015 dijangka bermula pada jam 9 malam dan berakhir kira-kira jam 11.45 malam dan akan bersiaran langsung TV AlHijrah (saluran 114).

Begitu pun, orang ramai masih boleh bersama-sama menantikan detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baharu.

Sebelum ini, Malam Cinta Rasul pernah diadakan di tempat sama pada Ogos lalu sempena sambutan 57 tahun kemerdekaan negara dengan kehadiran lebih 200,000 orang termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

WARTAWAN SINAR HARIAN



Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia