DO NOT MISS

Friday 16 January 2015

Black timang cahaya mata lelaki, anak mirip ibu


TAHNIAH diucapkan buat penyanyi Black dan isterinya, Cira yang baru sahaja menimang cahaya mata pertama yang dilahirkan pada jam 7.48 petang semalam.
Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal dengan berat 2.09kg itu dilahirkan sebulan lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan.

"Alhamdulillah isteri saya sihat. Begitu juga dengan anak saya. Bagaimanapun kini anak saya masih ditempatkan di wad NICU yang dikhaskan untuk kanak-kanak baru lahir. Wad tersebut bukanlah untuk kanak-kanak yang kritikal. Anak saya perlu ditempatkan di situ kerana dia lahir tidak cukup bulan dan perlu mendapatkan sedikit lagi antibiotik tambahan untuk mengelakkan dia terkena apa-apa jangkitan.

"Tetapi kini alhamdulillah kerana dia sudah boleh minum susu dan jika tidak ada apa-apa dalam sehari dua lagi anak dan isteri saya sudah dibenarkan keluar," ujar Black ketika dihubungi Media Hiburan Online.

Penyanyi ini juga turut berkongsi perasaannya yang mendapat peluang menemani isteri kesayangan sepanjang di bilik bersalin.

"Air ketuban isteri saya pecah awal kerana terkena jangkitan. Dia sakit dalam dua hari juga. Selepas dua hari, petang semalam barulah rahimnya terbuka. Ketika lahir anak saya tidak menangis dan memberikan respon walaupun ditepuk.

"Hampir 10 minit jugalah doktor yang bertugas berusaha. Ketika itu, saya rasa sangat resah dan 10 minit kemudian barulah terdengar tangisannya. Saya tergamam hingga tidak mampu berkata apa-apa.

"Saya rasa terlalu teruja sehinggakan tidak berselera untuk makan. Manakan tidaknya, sekejap-sekejap saya akan menjenguk isteri, sekejap-sekejap saya akan menjenguk anak," kata Black lagi yang sudah hampir 4 hari berkampung di Pusat Perubatan Sime Darby, Petaling Jaya.

Ditanya kenapa berita gembira tersebut disembunyikan, Black berkata, "semalam saya tidak mahu ianya diketahui sesiapa kecuali keluarga dan rakan-rakan terdekat kerana keadaan bayi saya yang lahir tidak cukup bulan. Hari ini Alhamdulillah semuanya bertambah baik dan kini saya sudah sedia berkongsi berita gembira ini dengan umum.

“Bagaimanapun, foto bayi kami masih belum boleh dikeluarkan kerana dia masih berada dalam rawatan khas. InsyaAllah tidak lama lagi saya akan kongsikan wajahnya," ujar Black yang mengakui anak sulungnya ini berkulit cerah seperti ibunya.


Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia