DO NOT MISS

Wednesday 7 January 2015

Ezad ingin berubah demi isteri, anak


DARAH seni yang mengalir dalam diri, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 35, atau lebih dikenali sebagai Ezad Lazim telah menyebabkannya terlibat dalam bidang nyanyian seawal usia 8 tahun.
Bekas vokalis kumpulan Exist ini berkata, kebanyakan ahli keluarganya turut aktif dalam bidang seni di negeri ini.

"Saya aktif menyertai pelbagai pertandingan di sekitar Utara sebelum saya dipilih menjadi vokalis kumpulan Exist pada 1995.

"Meskipun ketika itu masih belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Aman, namun album 'Diammu Gunung Berapi' berjaya mendapat sambutan ramai," katanya.

Menurutnya, dia telah merakamkan enam album selama 12 tahun bersama Exist selain aktif membintangi filem antaranya seperti Mami Jarum, Mistik dan Kuliah Cinta.

Kehadiran Ezad melonjakkan nama Exist di persada muzik tanah air apabila mereka merangkul beberapa anugerah antaranya Album Pop Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004.

Niat suka-suka bawa padah
Pada 2007, Ezad keluar dari kumpulan Exist sebelum cuba membawa haluan sendiri melalui kerjaya solo tanpa kehadiran rakan-rakannya. Ezad berkata, bukan mudah meneruskan perjalanan seni sendirian di ibu kota.

"Banyak dugaan ditempuhi sepanjang hidup seorang diri tanpa keluarga  kerana tiada kawalan. Tindakan keluar dari kumpulan Exist adalah titik tolak membawa ke arah kisah hitam apabila saya terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya.

Ezad mengakui pada mulanya dia hanya sekadar suka-suka mencuba benda baharu.

"Saya memang berniat nak berhenti, namun seolah-olah hilang punca sehingga menyebabkan saya ketagihan," katanya.

Nekad berubah selepas ditangkap
Namun peristiwa hitam ditangkap berhampiran Kompleks Selayang Mall pada 19 November lalu kerana disyaki menagih dadah seolah-olah membuka jalan dalam kehidupannya.

Ezad berkata, pengalaman ditahan di lokap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuatkan dia kesal dan memberi iktibar untuk berubah.

“Ketika itu, isteri, Nor Azeana Ramli, 36, mengalami keguguran. Dalam lokap, saya menangis tanpa henti mengenangkan dia dan anak perempuan kami, Puteri Rania Keisha,” katanya.

Katanya, dia sedar akan kesilapan yang dilakukan dan nekad untuk berubah.

"Isteri saya bukan saja tidak meninggalkan saya, sebaliknya sanggup memberi peluang kedua dan semangat untuk menempuh hidup. Kini saya aktif memberi ceramah sambil berkongsi pengalaman hidup dengan harapan tiada anak muda turut terjerumus dalam najis dadah seperti saya," katanya.

NURUL HIDAYAH HAMID

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia