DO NOT MISS

Monday 29 December 2014

Afdlin gesa bantu mangsa banjir


PRIHATIN dengan bencana banjir yang kini melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan juga beberapa negeri lain seperti Perak, Perlis dan Johor mendorong ramai pihak tampil membantu meringankan beban mereka.

Tidak hanya kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang tampil membantu, beberapa golongan selebriti juga turut turun padang untuk menyampaikan bantuan dan secara tidak langsung mendekati mangsa-mangsa banjir.

Antara yang kelihatan sudah turun untuk bertemu dengan mangsa banjir adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang meluangkan masa mengagihkan bantuan dan bertemu mangsa banjir di Pahang beberapa hari lalu.

Kemudian Fizo Omar dan Afdlin Shauki turut dilaporkan berada di Kelantan untuk menyampaikan bantuan dan melihat sendiri bencana yang melanda negeri itu.

Afdlin menerusi akaun Facebook miliknya mengakui pengalamannya turun ke Kelantan membuka matanya dan secara tidak langsung dia mendapat beberapa pengajaran.
"Subhanallah teruk juga keadaan dan dijangka ada ribut akan melanda Kelantan tak lama lagi. Namun kehadiran saya di sana membawa beberapa pengajaran.

"Pertama, saya dapat lihat betapa peramahnya orang Kelantan. Kedua, bagaimana bencana ini membawa keluar perkara yang paling penting iaitu nilai kemanusiaan kita.

"Ketiga, bagaimana kalau ALLAH SWT nak ubah hidup kita, Dia boleh melakukannya dengan sekelip mata sahaja. Jadi jangan lupa padaNya. Keempat, meredah air empat jam untuk membantu mangsa. Jadi jangan hentikan bantuan anda untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Jika saya dan kawan-kawan boleh melakukan, anda juga pasti boleh melakukannya," ujarnya.

Turut sama meminta untuk menghulurkan bantuan makanan dan air bersih di beberapa kawasan di Felda Jenderak Selatan dan Jenderak Utara serta Kuala Krau, Temerloh, Afdlin berkata, dia difahamkan kawasan tersebut sudah terputus hubungan dan bekalan semakin berkurangan.

Selain Afdlin, Fizo dan Siti yang sudah turun padang, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bersama beberapa selebriti tanah air seperti Azza, Zul Yahya, Nina Fazurina, Noorkhiriah, Fazren, Ani Maiyuni, Bienda, Emma Maembong dan ramai lagi, akan turut terlibat dengan misi kemanusiaan di bawah kempen Sentuhan Hati Ke Hati untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

Bukan itu sahaja, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sedang mengaturkan kutipan barang-barang keperluan untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang melanda negeri di Pantai Timur sejak minggu lalu.

Dalam pada itu, mari kita lihat beberapa selebriti lain lagi yang turut mengumpul dana untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

AQMAR MUSTAZA
 

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia