DO NOT MISS

Tuesday 20 January 2015

Caliph Buskers: Rasa seperti mimpi


PADA saat akhir terpaksa berhadapan dengan masalah dalaman yang melibatkan bekas vokalisnya, Aweera, itu bukanlah penghalang buat kumpulan Mojo tampil dengan persembahan luar biasa sekali gus melayakkan mereka meragut gelaran ‘Persembahan Terbaik’ pada malam kelmarin.

Persembahan Mojo yang turut mengundang pemuzik jalanan yang menggelarkan diri sebagai ‘Caliph Buskers’ benar-benar memberi impak yang besar pada persembahan mereka.

Tidak pernah terfikir untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer apatah lagi beraksi di pentas besar AJL, kumpulan yang dianggotai enam pemuzik jalanan ini akui seakan bermimpi.

“Alhamdulillah, sebenarnya memang tidak percaya kami berpeluang untuk beraksi di pentas besar AJL. Rasa macam bermimpi. “Kami sangat berterima kasih kepada Edry kerana beri peluang dan kepercayaan kepada kami untuk membuat persembahan itu walaupun kami memang masih mentah dalam bidang ini

“Bukan sahaja beri peluang, dia juga banyak mengajar kami dan apa yang kami lakukan malam ini hanya melaksanakan apa yang dimahukan,” kata vokalisnya, Azmi sebelum mengakhiri perbualan.

Caliph Buskers terdiri daripada Fendy, 24, Mohd. Zaki Ismail, 36, Nirwan Zainal Abidin, 26, Khairul Azmi Saad, 28, Nor Nadira Rubiana, 24 dan Syahzmeen Abdul Rahman, 24.
 
Berpuas hati dengan keseluruhan persembahan Mojo pada malam itu, Edry selaku ketua kumpulan berkongsi perasaan bangga dengan keupayaan pemuzik jalanan itu.

“Selepas kontroversi dengan bekas penyanyi kami, saya berpeluang melihat kebolehan mereka yang luar biasa sehingga meyakinkan saya untuk  membuatkan keputusan mengambil mereka untuk menjayakan persembahan malam ini.

“Ternyata mereka berjaya melakukannya dengan baik dan malam ini memang rezeki mereka dan saya sendiri bangga dengan kejayaan ini.

“Satu pintu tertutup dengan bekas vokalis kami tapi lima pintu terbuka dengan Caliph Buskers. Insya Allah akan ada beberapa perancangan selepas ini bersama mereka,” tutur Edry selaku ketua kumpulan Mojo.

NINA FARZUIN MD SHAROM


Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia