DO NOT MISS

Tuesday 30 December 2014

Malam Cinta Rasul sempena tahun baharu



BAGI memberi suntikan kelainan, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bakal diserikan dengan bacaan qasidah dan selawat nabi serta doa khas sempena sambutan Malam Tahun Baharu 2015 (malam ini).

Program tersebut dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), TV AlHijrah dan Pertubuhan Kebajikan dan Rekreasi Richworks Group Sdn. Bhd. (Richwell).

Malam Cinta Rasul 2015 bertemakan ‘Kenali, Dekati dan Cintailah Rasul’ akan menampilkan ikon agama dan pendakwah terkenal dari Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf di samping tazkirah serta selawat nabi oleh Habib Ali Zainal Abidin serta diiringi oleh kumpulan nasyid tempatan Inteam dan Al-Mawlid.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee memberitahu program ini dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 umat Islam terutama golongan muda.

"Aktiviti ini memberi mereka pilihan untuk memupuk rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW sejajar dengan objektif program

iaitu mengumpulkan generasi muda dan remaja serta mendedahkan mereka dengan hiburan segar yang positif.

"Kami menjemput segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang mempunyai pelbagai pengisian ini dan sama-sama kita dekatkan diri dengan Pencipta," katanya.

Malam Cinta Rasul 2015 dijangka bermula pada jam 9 malam dan berakhir kira-kira jam 11.45 malam dan akan bersiaran langsung TV AlHijrah (saluran 114).

Begitu pun, orang ramai masih boleh bersama-sama menantikan detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baharu.

Sebelum ini, Malam Cinta Rasul pernah diadakan di tempat sama pada Ogos lalu sempena sambutan 57 tahun kemerdekaan negara dengan kehadiran lebih 200,000 orang termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

WARTAWAN SINAR HARIAN



Ekin: Keluarga, bisnes seiring!



PERNAH bergelar pelakon suatu ketika dahulu bukan bererti empunya nama Nora Asikin Rahmat ini terus dilupakan dalam bidang seni.


Walaupun sudah lama wajahnya tidak dilihat di layar-layar skrin namun masih ramai yang ingin mengambil tahu perjalanan hidup wanita yang lebih dikenali sebagai Ekin ini.

Siapa sangka, keputusannya meninggalkan bidang seni bukanlah langkah yang merugikan dirinya, malah kerana keputusan itulah dia kini antara selebriti yang semakin berjaya dalam bidang perniagaan.

Berkongsi kisah hidupnya kini, ibu kepada Cahaya Malaika ini memberitahu, meskipun perniagaan yang dijalankan sangat memberangsangkan, ia bukan bererti dia mengabaikan keluarga terutama puteri sulungnya itu.

"Biasanya saya akan membawa anak ke mana-mana saya pergi. Sama ada urusan itu di butik atau di luar Kuala Lumpur, saya tidak pernah meninggalkan," katanya kepada Zass.

Akui wanita berusia 33 tahun ini, masa bersama anak adalah paling berharga berbanding perkara lain.

"Anak adalah keutamaan saya, saya memang tidak boleh jauh dengannya. Saya tidak mahu dia kekurangan kasih saya kerana saya leka dan terlalu memberikan fokus kepada karier semata," jelasnya.

Tambah Ekin, walaupun di awal kelahiran Cahaya, dia sering menerima tawaran komersial bersama anaknya itu, tetapi dia nekad untuk tidak terlalu mendedahkan Cahaya kepada bidang seni.

"Cahaya masih kecil, rasanya dalam usianya sekarang pun, saya kurang selesa melihat dia melakukan kerja-kerja sedemikian.

"Tetapi jika apa yang ditawarkan menarik, saya sedia pertimbangkannya," katanya yang turut memaklumkan Cahaya kini menginjak usia 2 tahun 10 bulan.

Ditanya adakah dia sedang merancang menambah bilangan ahli keluarga, jelas Ekin, dia dan suami, Mawi AF, sudah bersyukur mempunyai Cahaya.

"Kerana masalah rahim saya, doktor nasihatkan supaya banyak berehat jika mengandung lagi. Kami tidak pernah merancang dan apa yang dianugerahkan Allah SWT kami terima dengan terbuka.

"Alhamdulillah, sekarang pun kami cukup gembira dan berseri dengan adanya seorang anak," katanya.

Ujar Ekin, adakala kesibukannya juga membuatkan dia hanya berkesempatan meluangkan masa bersama suami selepas habis bekerja.

"Lagi-lagi pada waktu hujung minggu, memang banyak kerja, kerana saya akan ikut mana-mana 'event' perniagaan.

"Mawi pula banyak mendapat undangan pada waktu itu, jadi kami perlu bijak mencari masa bersama," katanya akan makan malam bersama, tengok wayang dan membawa Cahaya ke tempat permainan jika ada masa terluang.


Dapat sokongan suami

Mengakui semakin sibuk dengan urusan perniagaan dan keluarga, Ekin memberitahu, dia gembira kerana masanya dipenuhi dengan perkara yang lebih bermanfaat kini.

"Selepas meninggalkan dunia lakonan dan berkahwin, saya memang tidak terikat dengan sebarang komitmen.

"Alhamdulillah, bidang perniagaan yang diceburi telah memberi warna baru dalam kehidupan saya.

"Selepas setahun lebih mengusahakan produk kesihatan dan kecantikan Unequein, saya kini mampu berbangga dengan diri sendiri," katanya kepada Zass.

Tambah Ekin, dia juga bersyukur kerana suaminya itu sentiasa memberi sokongan dengan jalan yang dipilihnya.

"Walaupun masing-masing terikat dengan karier dan komitmen, tetapi dia tidak pernah merungut kerana apa yang diusahakan saya berhasil," katanya 21 Disember lalu genap enam tahun usia perkahwinan mereka.

Dalam pada itu, Ekin mengakui sebagai kehidupan berumah tangga tidak lengkap jika tidak pernah bertikam lidah.

"Adatlah menjadi suami isteri pasti ada bertikam lidah, tetapi tidak pernah pula kami bergaduh besar.

"Biasanya kami hanya tidak sependapat mengenai perkara-perkara yang melibatkan perniagaan. Contohnya bila hendak mengeluarkan rekaan terbaru, ada sahaja percanggahan idea," katanya.

Mengenai perkembangan perniagaannya pula, katanya, dia kini sedang merancang membuka sebuah butik di sekitar Kuala Lumpur.

"Butik yang ada lokasinya di Bangi, walaupun sambutan memberangsang, tetapi sebagai peniaga saya perlu cari lokasi yang lebih strategik dan mudah dijumpai pelanggan.

"Insya-Allah, itu perancangan saya untuk tahun hadapan," ujarnya lagi.

Selain itu, bagi produk Unequein, selain tudung, Ekin turut menghasilkan pelbagai jenis selendang yang semakin menjadi kegilaan wanita bertudung.

"Wanita bertudung kini semakin bijak bergaya, pun begitu mereka masih kelihatan sopan," katanya.


MARINA SAHABUDIN

QZ8501: Kisah pramugari dan ucapan "I love you dari 38,000 kaki'


JAKARTA: Kisah seorang pramugari pesawat AirAsia Indonesia yang memuat naik gambar di rangkaian media sosial yang tertera tulisan "I Love You From 38000 ft', amat menyentuh perasaan.
Detik.com dalam laporannya hari ini berkata, salah seorang kru pesawat QZ8501 yang terputus hubungan Ahad lalu adalah pramugari Khairunisa Haidar Fauzi, 22, yang cukup aktif di media sosial.
Laporan itu berkata, pramugari yang lebih selesa dipanggil Nisa ini kerap menjadikan Instagram sebagai salah satu media sosial untuk memuat naik banyak gambar mengenai foto kegiatan hariannya.
"Setelah hilangnya AirAsia QZ8501, salah satu gambar dari Instagram Nisa yang banyak tersebar di media sosial ialah gambar yang dimuat naik dua dua minggu lalu.
"Foto berkenaan menampilkan sehelai kertas yang ditempalkan di tingkap pesawat. Di kertas berwarna coklat itulah terdapat tulisan tangan Nisa 'I LOVE YOU FROM 38000 ft' (Saya sayang anda dari 38,000 kaki) dengan berlatar belakangkan ada pemandangan sayap pesawat yang berada di atas awan," kata laporan itu.
Dipercayai gambar berkenaan itu diambil ketika Nisa sedang bertugas sebagai pramugari di AirAsia.
"Nisa juga membuat keterangan pada gambar iaitu: 'Yes! I love you :x #love #caption #wings #aircraft'," kata Detik.com.
Setelah QZ8501 dilaporkan hilang, ratusan komen ditulis pengguna Instagram dengan kebanyakan menyatakan perasaan sedih, malah ada juga yang berharap Nisa boleh membaca semua komen berkenaan.
Susulan itu, keluarga pramugari berkenaan agar Nisa terselamat dalam kejadian yang menimpa pesawat QZ8501 yang terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura, Ahad lalu.
Ayahnya, Haidar sangat berharap anak perempuannya itu dapat ditemui dengan selamat.
"Harapan semoga Nisa mampu ditemui dengan selamat," kata Haidar di kediamannya Jl Pipa Nomor, Kelurahan Pipa Reja, Kemuning, Palembang, semalam.
Nisa menjadi pramugari AirAsia sejak 2013. Dia adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan lahir di Palembang pada 11 Mei 1992.
Kali terakhir Nisa menghubungi keluarganya adalah pada malam sebelum dia bertugas pada penerbangan pertama dari Surabaya menerusi pesawat QZ8501 pada jam 5.35 waktu tempatan.



Monday 29 December 2014

'Saya terpaksa makan biskut hanyut'



KUALA KRAI- “Ya Allah jika ini ujian kami, kami terimanya dengan redha”

Demikian luahan guru penolong kanan Sekolah Kebangsaan Menengah  Kebangsaan Manek Urai, Nor Aini Mat Nor yang bertanggungjawab menjaga 150 orang mangsa banjir yang melanda sekitar kawasan tersebut Rabu lalu.

Lokasi kawasan sekolah ini dikatakan paling terjejas kerana ia berhadapan dengan sungai dan menjadi viral di laman sosial yang mendakwa ia runtuh akibat hentaman air sungai berhampiran.

Menceritakan detik ngeri kejadian, Nor Aini yang sudah berkhidmat 20 tahun di Kementerian Pendidikan berkata, ramai penduduk kampung tidak membuat persiapan memandangkan banjir besar tidak pernah berlaku sejak 1927.

Katanya pada pagi Selasa, keadaan masih aman, namun bertukar menjadi ganas pada pagi Rabu apabila peningkatan air secara mendadak mengakibatkan orang kampung panik.

“Ia bermula di waktu Subuh, air di sungai sebelah sekolah meningkat dengan cepat, sehingga ke tingkat dua. Kami rasai gegaran yang sangat kuat kerana gelombang dan arus menghentam dinding sekolah, ia menyebabkan ramai yang mula ketakutan dan menangis,” katanya.

Malah, katanya dia dapat melihat beberapa rumah  dan kayu balak hanyut deras melalui di hadapan sekolahnya, namun bersyukur kerana ia membelok sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah.

“Ini adalah kuasa Allah, saya sudah redha sekiranya rumah yang hanyut itu menghempap sekolah kami, tetapi ia tidak berlaku, “katanya.

Jelasnya lagi, ekoran paras air yang sudah menghampiri tingkat tiga beberapa penduduk mengambil keputusan untuk meninggalkan sekolah menggunakan perahu menuju ke bukit berhampiran.

Katanya, walaupun ada yang mengajaknya untuk lari ke bukit, namun dia mengambil keputusan untuk bersama dengan mangsa kerana rasa bertanggungjawab dengan mereka.

“Ketika itu juga ada bayi dua hari dilahirkan, tidak sampai hati untuk tinggalkan mereka, jadi kami bersama-sama berdoa semoga bantuan tiba,” katanya.

Dalam pada itu katanya, situasi paling tragis adalah disaat mereka terpaksa berkongsikan dua keping biskut yang hanyut  di kedai runcit berhampiran.

“Kami semua kelaparan, bantuan tidak tiba, helikopter ada tetapi tidak dapat hulur bantuan kerana cuaca buruk, di kala itulah kami ternampak satu bungkusan biskut.

“Alhamdulillah, kami bahagikan seorang mendapat dua keping biskut  untuk menahan lapar sebelum bantuan tiba keesokan harinya,” katanya.

Nor Aini dalam masa yang sama berkata, dia terpaksa mendapatkan helikopter persendirian memandangkan suaminya menghadapi penyakit buat pinggang dan perlu membuat rawatan hemodalisis pada hari kejadian.

“Saya rasa bersyukur kerana tiada ada mangsa yang terkorban, benar ada viral di laman sosial sekolah ini sudah runtuh dan ramai terkorban, tetapi Tuhan mentakdirkan kami masih selamat,” katanya.

Kredit
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Kampung macam kena tsunami!



SETELAH mengetahui keadaan Kuala Krai kembali pulih, saya bersama wartawan Rosalwani Che Soh dan jurufoto Khirul Shaleh merancang untuk sedaya upaya untuk memasuki kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Kelantan iaitu Manek Urai Lama.


Lokasi inilah dikatakan pasukan bantuan tidak dapat disalurkan sama ada melalui darat mahupun udara ketika kemuncak banjir yang melanda daerah ini Rabu lalu.

Setelah mengharungi jalan dari Kota Bharu, kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini, akibat laluan yang masih digenangi air kami terpaksa terpaksa meredah banjir sehingga 500 meter sebelum tiba di bandar Kuala Krai.

Di kawasan bandar, kesan-kesan kemusnahan akibat banjir mula kelihatan, beberapa anggota polis kelihatan mengawal beberapa pasaraya  yang dikatakan diceroboh oleh orang ramai kerana kelaparan.

Satu-satunya stesen minyak di Kuala Krai yang masih beroperasi dikerumuni orang ramai sepanjang satu kilometer meter.

Rasanya di Malaysia, saya tidak pernah melihat sebegitu ramai orang yang ingin mendapatkan sesuatu barangan.

Untuk bergerak ke Manek Urai Lama, lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuala Krai, kami mendapat bantuan seorang pemimpin tempatan untuk ke lokasi.

Hentian pertama kami adalah di Guchil 4, kami saksikan rumah di atas rumah. Bayangkan begitu kuat arus deras air sehingga boleh mengubah kedudukan sebuah rumah.

Lebih mengharukan rumah milik Rahim Ismail, 58, berada di atas rumah anaknya sendiri.

Tiba di Manek Urai Lama jam 12 tengah hari, beberapa anggota tentera membenarkan kami agar memasuki kawasan tragedi tetapi dengan berjalan kaki kerana suasana masih kelam kabut  selain kesan runtuhan rumah yang masih belum dibersihkan.

Ia sekaligus menutup cakap-cakap yang di viral media sosial mengatakan tentera tidak membenarkan kawasan ini dimasuki ini dengan alasan mahu menyembunyikan sesuatu.

Sejurus melepasi jambatan Manek Urai, saya tergamam seketika menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat sekali.

Bagaikan tsunami!, kawasan yang pernah saya lawati ketika PRK Manek Urai pada 2009 alu bagaikan padang jarak pandang tekukur.

Ada sebahagian kediaman hancur berkecai hanya meninggalkan tiang untuk kenangan pemiliknya.

Dicelah runtuhan itu, terdapat pemilik-pemilik rumah yang termenung kebingungan melihat kediaman lesap sekelip mata. Air mata ada di mana-mana.

Tiada lagi rumah yang sempurna, kesan runtuhan di mana-mana, menceritakan kisah kejadian di sana.

Kredit
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Afdlin gesa bantu mangsa banjir


PRIHATIN dengan bencana banjir yang kini melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan juga beberapa negeri lain seperti Perak, Perlis dan Johor mendorong ramai pihak tampil membantu meringankan beban mereka.

Tidak hanya kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang tampil membantu, beberapa golongan selebriti juga turut turun padang untuk menyampaikan bantuan dan secara tidak langsung mendekati mangsa-mangsa banjir.

Antara yang kelihatan sudah turun untuk bertemu dengan mangsa banjir adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang meluangkan masa mengagihkan bantuan dan bertemu mangsa banjir di Pahang beberapa hari lalu.

Kemudian Fizo Omar dan Afdlin Shauki turut dilaporkan berada di Kelantan untuk menyampaikan bantuan dan melihat sendiri bencana yang melanda negeri itu.

Afdlin menerusi akaun Facebook miliknya mengakui pengalamannya turun ke Kelantan membuka matanya dan secara tidak langsung dia mendapat beberapa pengajaran.
"Subhanallah teruk juga keadaan dan dijangka ada ribut akan melanda Kelantan tak lama lagi. Namun kehadiran saya di sana membawa beberapa pengajaran.

"Pertama, saya dapat lihat betapa peramahnya orang Kelantan. Kedua, bagaimana bencana ini membawa keluar perkara yang paling penting iaitu nilai kemanusiaan kita.

"Ketiga, bagaimana kalau ALLAH SWT nak ubah hidup kita, Dia boleh melakukannya dengan sekelip mata sahaja. Jadi jangan lupa padaNya. Keempat, meredah air empat jam untuk membantu mangsa. Jadi jangan hentikan bantuan anda untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Jika saya dan kawan-kawan boleh melakukan, anda juga pasti boleh melakukannya," ujarnya.

Turut sama meminta untuk menghulurkan bantuan makanan dan air bersih di beberapa kawasan di Felda Jenderak Selatan dan Jenderak Utara serta Kuala Krau, Temerloh, Afdlin berkata, dia difahamkan kawasan tersebut sudah terputus hubungan dan bekalan semakin berkurangan.

Selain Afdlin, Fizo dan Siti yang sudah turun padang, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bersama beberapa selebriti tanah air seperti Azza, Zul Yahya, Nina Fazurina, Noorkhiriah, Fazren, Ani Maiyuni, Bienda, Emma Maembong dan ramai lagi, akan turut terlibat dengan misi kemanusiaan di bawah kempen Sentuhan Hati Ke Hati untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

Bukan itu sahaja, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sedang mengaturkan kutipan barang-barang keperluan untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang melanda negeri di Pantai Timur sejak minggu lalu.

Dalam pada itu, mari kita lihat beberapa selebriti lain lagi yang turut mengumpul dana untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

AQMAR MUSTAZA
 

Leez Rosli akhiri zaman bujang



SETELAH hampir tiga tahun menyulam cinta, pelakon yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Leez Rosli, selamat disatukan dengan cinta hatinya, vokalis kumpulan Drama Band, Aepul atau nama sebenarnya Noorsyaiful Md Zalaludin, Sabtu lalu.
Pasangan ini selamat dinikahkan oleh bapa Leez, Rosli Awang dengan tiga kali lafaz, disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Muhamad Jalani Ahmad, di Masjid Salahuddin Al Ayubi, Taman Melati.

Dalam majlis serba ringkas itu, Leez menerima mas kahwin berjumlah RM80 bersama sembilan dulang hantaran dan di balas sebelas dulang daripada pihak perempuan.

Bagaimanapun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Mengakui terasa segalanya yang berlaku bagaikan mimpi, Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli, 27, berkata, dia lega apabila majlis pernikahannya itu berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah segalanya sudah selesai biarpun bapa saya gugup sampai tiga kali baru sah lafaz, tapi semuanya sudah selamat. Saya sendiri kena tepuk pipi kerana terasa semua yang berlaku tadi bagai sebuah mimpi.

“Memang agak sebak lebih-lebih lagi tanggungjawab abah terhadap saya sudah selesai dan kini terserah kepada Aepul untuk menjaga saya,” katanya yang ditemui usai majlis pernikahan tersebut.

Ditebak keistimewaan Aepul di matanya, Leez berkata, sikap Aepul yang tegas dan pandai menjaga hati dan perasaannya membuatkan dia senang bersama dengan lelaki berusia 26 tahun itu.

“Kami kenal ketika berada di Johor pada awal 2012, ketika itu Aepul bersama Drama Band menjalani penggambaran Ekspedesi Kembara. Dari berkawan, dari situ hubungan kami semakin rapat.

“Sebelum ini saya banyak kenal lelaki yang tidak serius dalam berkawan, tapi dengan Aepul, dia cukup serius dan paling penting dia pandai menjaga perasaan saya. Itulah yang menyebabkan saya yakin dia sesuai untuk saya,” katanya.

Merancang untuk berbulan madu ke Pulau Redang selepas selesai majlis resepsi Februari depan, Leez berkata, dia tidak merancang soal cahaya mata, dan menerima andai dikurniakan rezeki awal.
 

Akui bimbang
Leez yang kini masih sibuk menjalani penggambaran drama untuk slot Azalea TV3 berjudul Padamu Aku Bersujud, di samping Syazwan Zulkifli berkata, dia akan terus aktif di dalam bidang seni selepas ini biarpun sudah bergelar isteri.

Bagaimanapun ujar Leez, dia akan lebih selektif dari segi watak dan mengutamakan suaminya selepas ini.

“Ada orang kata, artis bila kahwin kariernya akan jatuh tapi ada yang kata bila kahwin rezeki makin murah. Walaupun risau dengan karier saya, saya yakin dengan rezeki dari ALLAH SWT. Cuma dari segi watak saya akan lebih selektif dan akan berbincang dengan Aepul,” katanya.

Biarpun mengakui jarang mendapat peluang muncul di media massa, Leez berkata, dia tidak menjadikan segala itu sebagai satu alasan untuk terus aktif di dalam bidang seni.

“Kalau saya jumpa media, memang mereka selalu tanya adakah saya masih aktif dan saya tahu saya kurang menonjol di kalangan media. Tapi saya masih menerima tawaran berlakon drama-drama RTM.

“Cuma rezeki untuk menonjol belum ada dan saya sendiri sedar duduk, bangun saya di dalam industri. Namun saya tetap bersyukur kerana masih ada peminat dan media yang menyokong kerjaya saya dan perasan kehadiran saya dalam industri sejak tujuh tahun lalu,” ujarnya.

Berazam untuk terus mencari peluang di dalam bidang seni, Leez berkata, dia mengimpikan mendapat sebuah naskhah yang akan melonjakkan namanya selepas ini.


Kredit
AQMAR MUSTAZA , FOTO: SUHAIZUL IZHAR, (INSTAGRAM: TODAK MERAH)

Saturday 27 December 2014

Banjir tidak seburuk 1967





KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan, keadaan banjir di negeri ini masih terkawal apabila air di bahagian hulu beransur surut.

Menurutnya, air di Gua Musang dan Kuala Krai mulai surut dan kini memberi kesan kepada kawasan di bahagian bawah termasuk Machang, Kota Bharu serta Tumpat.

“Banjir 1967 lebih teruk, tapi kita tak isytihar darurat, sebab itu kali ini pun kita belum isytihar darurat, cuma yang menjadi kelam-kabut apabila ada setengah kawasan tak pernah banjir tiba-tiba ditenggelami, ramai tidak jangka kerana ia datang secara mengejut, itu yang menjadi isu.

“Bagaimanapun air agak lambat surut di Kuala Krai berikutan kawasan yang terlalu besar, tetapi di Gua Musang sudah tidak banjir, perlahan-lahan berkurangan dan kini memenuhi daerah di bawahnya terutama Kota Bharu dan Tumpat yang berada di muka kuala,” katanya kepada media,  semalam.

Mohd Amar berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada pembangunan yang giat dilakukan termasuk kegiatan menambak tanah untuk projek perumahan, sekolah dan bangunan sehingga menyebabkan air mengalir di luar saluran yang ada.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, gerakan menyelamat giat dijalankan dan terus ditingkatkan dengan bantuan tujuh helikopter selain tambahan petugas termasuk sukarelawan dari luar negeri ini.

“Peruntukan tambahan bekalan makanan sudah sampai, cuma di sesetengah lokasi, kita tak boleh masuk disebabkan  arus terlalu deras dan ini yang menjadi isu apabila bantuan lambat sampai, bagaimanapun bukan di seluruh negeri ” katanya.

Mohd  Amar berkata, kawasan yang gagal untuk sampai, bekalan makanan dijatuhkan menggunakan helikopter.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, air dijangka surut dalam masa dua hari sekiranya tidak ada hujan dan air pasang.


SAPINAH AB GHANI

Cabaran wanita berkarier






MEMEGANG  tiga ‘jawatan’ serentak iaitu sebagai wanita bekerja, isteri dan ibu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan besar dan yang paling utama kekuatan mental dan fizikal.

Begitu pun, ia bukanlah satu masalah besar buat Isfadiah Mohd Dasuki atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ustazah Isfadiah demi menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai penasihat syariah, pendakwah, isteri dan ibu.

"Saya tidak boleh menyempurnakan segala tugas tanpa sokongan daripada keluarga.

"Oleh itu, saya lebih selesa mengamalkan budaya berkomunikasi dan perbincangan," katanya kepada Zass.

Kata personaliti TV AlHijrah ini, dalam konsep pembahagian masa bersama keluarga, dia lebih selesa memegang prinsip ‘sebaik-baik manusia adalah manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain’.

"Sebenarnya, tempoh 24 jam yang diberikan ALLAH SWT ini boleh diuruskan dengan baik cuma ia terpulang kepada bagaimana kita memaksimumkannya,” katanya.

Justeru, isteri kepada Ustaz Muhidin Mokter ini lebih selesa bertindak dalam bentuk 15 minit demi meluangkan masa dengan enam anaknya yang kini sedang membesar.

"Saya punya enam anak dari usia lima ke 18 tahun. Ini adalah aktiviti wajib kami sekeluarga. Dalam tempoh 15 minit itu, saya akan mendengar pelbagai luahan, permasalahan, penceritaan, pandangan mahupun perkongsian daripada anak-anak.

"Ibu bapa tidak ada masa yang banyak dengan anak-anak perlulah meluangkan masa yang berkualiti dengan mereka.

"Apatah lagi, setiap peringkat usia, ada ujiannya tersendiri yang perlu dihadapi. Apa yang penting adalah macam mana kita hendak menanganinya," katanya yang mempunyai kelulusan dalam bidang keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Percutian bermakna

Dalam pada itu, Ustazah Isfadiah memberitahu, mereka sekeluarga baharu saja pulang bercuti dari Kota Paris, Perancis dan Armsterdam, Belanda pada Mei lalu.

Lebih manis, percutian mereka sekeluarga turut dirakamkan dalam program travelog terbitan TV AlHijrah iaitu Kembara Ilmu.

Bersiaran sebanyak 13 episod, personaliti berusia 43 tahun ini memberitahu, Kembara Ilmu adalah program dokumentari travelog santai mengisahkan perjalanan dan percutian keluarga penuh ilmiah.

"Oleh sebab kami bercuti ke luar negara, jadi perbincangannya  lebih berfokus pada soal bermusafir, solat dalam kapal terbang, menentukan arah kiblat di negara asing dan juga pengurusan pemakanan halal.

"Pengisiannya sememangnya lebih kepada ilmu Fikah kerana apa yang saya lihat, perbincangan dalam bab ini selalunya dilakukan secara rasmi dan agak membosankan.

"Saya mahu ilmu ini turut dilihat dari sudut pengalaman sendiri dan tidak hanya berlangsung sewaktu dalam pembelajaran di dalam kelas," katanya.

Tambahnya, dengan berpaksikan matlamat mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara ibu bapa dan anak-anak adalah wajar percutian itu dimanfaatkan dengan pengetahuan ilmiah.

"Penggambaran bukanlah asing bagi kami sekeluarga, oleh itu, saya jadikannya sebagai satu program kami anak beranak. Apabila sudah berkongsi, mereka boleh menerimanya dan percutian itu alan lebih berobjektif sekali gus lebih bermakna," katanya.

Travelog Kembara Ilmu disiarkan pada setiap Khamis, jam 9 malam bermula 27 November lalu menerusi saluran TV AlHijrah (saluran 114).

NORHIDAYYU ZAINAL, FOTO: TV ALHIJRAH

Wednesday 24 December 2014

Necklace Set G

!!!READY STOCK JEWELRY SETS 2015!!!

PRODUK : CROWN, RANTAI & SUBANG SET G
HARGA : RM 150.00 / 1 SET
BORONG : RM 400.00 / 3 SETS

JIKA ADA PERTANYAAN SILA HUBUNGI KAMI DI TALIAN: 
H/P : +6013-252 8558, +6013-288 2558, +6013-532 2558 
(WHATSAPP/WECHAT/VIBER/SMS)
Terima Kasih!






















Necklace Set F

!!!READY STOCK JEWELRY SETS 2015!!!

PRODUK : CROWN, RANTAI & SUBANG SET F
HARGA : RM 150.00 / 1 SET
BORONG : RM 400.00 / 3 SETS

JIKA ADA PERTANYAAN SILA HUBUNGI KAMI DI TALIAN: 
H/P : +6013-252 8558, +6013-288 2558, +6013-532 2558 
(WHATSAPP/WECHAT/VIBER/SMS)
Terima Kasih!





















 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia