DO NOT MISS

Saturday 29 November 2014

Ekspresi cinta Azad & Eira




SELAIN terkenal dengan bidang lakonan, siapa tahu sebenarnya pasangan suami isteri ini sebenarnya memiliki bakat dalam bidang nyanyian. Tidak pernah merancang untuk menghasilkan sebuah album bersama, Azad memberitahu, lagu-lagu yang terkandung di dalam album tersebut mula direkodkan sejak tiga tahun lalu.

“Album ini dihasilkan untuk berkongsi kisah kasih sayang kami kepada pasangan yang bercinta. Kalau boleh, kami mahu elakkan kisah penceraian yang kini kita lihat semakin berleluasa.

“Jadi kami cuba tampilkan sesuatu yang ‘sweet’ untuk dikongsi kepada orang ramai. Bila saya berduet dengan isteri, saya anggap nyanyian itu saya sampaikan untuknya. Lagi pun lagu-lagu itu memang dicipta khas untuk kami,” katanya.

Kata Eira, dirinya cuba untuk memahami lirik lagu secara mendalam untuk menjadikan nyanyian duet itu lebih berkesan.

“Setiap kali menyanyi dengan Azad, saya cuba berikan penghayatan yang baik supaya ia perasaan itu menjadi lebih semula jadi. Kalau dulu kita ada pasangan duet Nurul dan Ajai, mungkin lepas ini Azad dan Eira pula,” katanya sambil tertawa.

Album Azad Eira mengandungi sebanyak lima buah lagu ciptaan Adi dan Panji Sakti antaranya Dua Hati Satu Jiwa, Prasasti Cinta, Tersedar Aku, Sajak Dari Hati dan Nafas Hidup.


Aura baru Azad

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang nyanyian, Azad akui ia tidak semudah yang dibayangkan.

“Seperti yang orang lain tahu, saya mungkin lebih dikenali sebagai pelakon dan tidak nafikan pada awal pembikinan album ini memang terasa lawak sedikit tapi ia menjadi lebih serius apabila bertemu dengan komposer Adi 6ixth Sense.

“Pada awalnya dia buat lagu ‘Prasati Cinta’ untuk Eira dan ketika itu memang saya tidak terlibat langsung tapi secara kebetulan Adi tawarkan lagu duet untuk kami.

“Memang tidak percaya tapi tidak salah rasanya untuk mencuba. Dalam album ini kami ada dua lagu duet yang dihasilkan Adi iaitu Sajak Dari Hati dan Dua Hati Satu Jiwa,” ujarnya.

Baginya bidang lakonan dan nyanyian adalah dua perkara yang berbeza dan secara tidak langsung memberi cabaran buat dirinya.

“Apa yang membuatkan saya mahu mencuba apabila diberi kepercayaan oleh dua orang komposer. Kalau orang lain boleh yakin, kenapa saya tidak mahu mencubanya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak buat mereka malu dengan saya,” katanya berseloroh.

Demi memberi tumpuan pada perniagaan dan bidang nyanyian yang diceburi, bintang ‘Fobia Malam Pertama’ ini mengambil keputusan berehat sebentar dari dunia lakonan.

“Sebenarnya sudah tujuh bulan juga saya tidak ambil seberang tawaran lakonan. Tapi itu bukan bermakna saya terus tolak jika ada tawaran yang baik.

“Tidak bermakna jika saya sering tampil dengan produk yang sama. Sebab itu saya cuba berehat dan dapatkan aura yang berbeza dari bidang perniagaan dan nyanyian.

“Kita lihatlah bagaimana hala tuju album ini dan bagaimana dengan rezekinya. Kami sendiri tidak boleh menjangkakannya dan hanya mengharapkan yang terbaik,” turutnya yang bakal muncul dengan drama ‘Poskad Dari Itali’ Februari nanti.


Eira lebih selektif

Pada masa yang sama, Eira mendedahkan bakat nyanyiannya banyak mendapat tunjuk ajar daripada suaminya. “Kalau diikutkan ini bukan album pertama saya di mana sebelum ini saya pernah hasilkan sebuah album namun atas beberapa masalah ia tidak dapat dilancarkan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya, bidang nyanyian Azad bermula terlebih dahulu berbanding saya kerana dia pernah menyertai program ‘Audition’.

“Dia tahu teknik nyanyian dengan baik dan banyak yang saya belajar daripadanya,” kongsinya.

Sejak bergelar isteri, ibu kepada Amarra Sofea Rose yang kini berusia hampir 2 tahun akui selektif dalam menerima tawaran lakonan.

“Sejak berkahwin lagi sebenarnya saya lebih bersifat selektif untuk menerima tawaran. Tambahan pula sekarang sudah ada anak, jadi memang saya memilih. Bergelar isteri dan ibu bukanlah mudah kerana ada tanggungjawab yang lebih besar. Tapi saya masih mahu terlibat dalam bidang lakonan kerana itulah minat saya Cuma keutamaan diberikan kepada keluarga,” katanya.
 
Kredit

Diana Amir teruja bakal bergelar ibu


SELEPAS hampir setahun dihujani dengan soalan mengenai zuriat, pasangan sama cantik sama padan, Diana Amir dan suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman teruja apabila mereka bakal menimang cahaya mata sulung pada akhir Februari depan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT kepada kami.

"Saya disahkan mengandung setelah pulang dari Paris kerana menjalani penggambaran travelog Kembara Ilmu.

"Kini saya sedang hamil enam bulan dan setelah melakukan imbasan kandungan pada  minggu lepas, doktor mengesahkan kami bakal dikurniakan anak perempuan," katanya pada Zass.

Kata teraju utama filem Pe3 ini, kehamilannya itu sekali gus melenyapkan segala persoalan yang berbangkit.

"Saya akui ramai yang bertanya mengenai soal zuriat. Terus terang saya katakan, saya tidak rimas dengan soalan-soalan ‘panas’ seperti itu.

"Saya percaya dalam tempoh awal perkahwinan kami, ALLAH SWT memberi lebih peluang kepada kami untuk meluangkan masa bersama apatah lagi kami adalah jenis yang suka berjalan-jalan," katanya yang sudah melancong ke pelbagai negara seperti Maldives dan Indonesia.

Menceritakan mengenai usia kandungannya yang sudah memasuki trimester kedua, pelakon berusia 28 tahun ini memberitahu, alahannya kini sudah mulai berkurangan.
"Pada peringkat awal kandungan, saya mengalami alahan yang teruk. Sampaikan hendak makan pun tidak boleh.

"Ketika usia kandungan saya berusia tiga bulan, saya menjalani penggambaran drama bersiri, Cinta Ilahi. Ketika saya bekerja, saya tidak mengalami sebarang alahan tetapi jika saya bercuti, saya pasti akan mengalami alahan yang teruk.

"Daripada situ, saya baharu menyedari yang badan saya perlu sentiasa bergerak dan tidak boleh duduk diam. Baharulah saya akan rasa sihat. Tetapi, alahan saya kini sudah semakin hilang," katanya.

Ketika ditanya adakah dia akan terus berlakon walaupun sedang sarat mengandung kelak, pemilik nama penuh Nurdiyana Amir Hashim ini memberitahu:

"Keadaan badan akan berubah kelak, pastinya saya akan memilih watak yang bersesuaian. Pasti saja watak itu nanti tidak memerlukan saya terlalu aktif.

"Oleh sebab itu, saya kini lebih selesa untuk memberi pelbagai ceramah motivasi di universiti atau sekolah," katanya.


Bakal tinggalkan MIG

Beralih kepada  soal kerjayanya pula, Diana memberitahu, dia bakal mengikut jejak aktres Yana Samsudin apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Metrowealth Pictures (MIG) selepas lima tahun di bawah naungan syarikat berkenaan.

"Februari depan tamatlah kontrak saya bersama MIG.

"Saya tidak berhasrat untuk menyambung kontrak lagi kerana kini saya pun lebih banyak bergerak secara solo.

"Sebelum ini, MIG banyak menguruskan soal yang berkaitan duta atau filem," katanya.

Bagaimanapun, kata bintang Aku Masih Dara ini, dia masih belum berbincang lagi dengan Mejar David Teo mengenai hasratnya itu.

Dalam perkembangan lain, Diana bakal muncul dalam drama bersiri Cinta Ilahi untuk siaran TV3 bersama aktor, Johan As’ari selain membintangi filem terbitan MIG, Raya Aidil dan Fitri untuk tayangan raya tahun hadapan.

"Saya juga akan terlibat dalam rancangan realiti, Adik-Adikku di RTM untuk slot mengajar bahasa Inggeris.

"Mengenai bidang pengacaraan pula, saya kini sedang direhatkan untuk satu musim dalam program SIS kerana faktor mengandung," katanya.

Pada masa sama, Diana juga akan muncul sebagai penampilan khas bersama suaminya dalam rancangan berbentuk travelog Kembara Ilmu yang mula bersiaran pada 27 November ini, jam 9 malam di TV Al Hijrah untuk dua episod.

Kredit

Shila Amzah terima anugerah Ikon Wanita Muda 2014


PENYANYI wanita popular tanah air, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, hari ini dianugerahi 'Ikon Wanita Muda 2014' bersempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Shila, 24, diwakili bapanya, Datuk Amir Amzah Salleh (ND Lala) untuk menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Penyanyi itu, yang kini berada di Beijing, China, untuk rakaman rancangan muzikal di negara berkenaan, melahirkan kebanggaan dan penghargaannya atas penganugerahan itu menerusi video pendek yang dipaparkan kepada perwakilan di dalam dewan persidangan.

"Saya rasa terharu dan bersyukur dengan anugerah yang diberikan oleh Puteri Umno. Saya berterima kasih kepada Ketua Puteri Umno kerana mengiktiraf bakat seni saya.

"Harapan saya kepada belia wanita muda di luar sana supaya sentiasa menyokong usaha Puteri Umno dan selamat bersidang kepada anggota-anggota Puteri Umno," katanya.

ND Lala, penyanyi popular pada era 90-an, berkata menjadi kewajipan bagi semua ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya. 

"Kami bukan mendidik anak untuk mendapatkan sebarang anugerah, malah anugerah yang diterima itu merupakan bonus bagi anak-anak supaya menaikkan semangat mereka untuk berusaha lebih baik daripada sekarang," katanya kepada Bernama.

Selain Shila, Anugerah Ikon Wanita Muda 2014 juga diberi kepada atlet wanita berbasikal negara, Fatehah Mustapa yang meraih pingat perak dalam acara Keirin dalam Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, pada Oktober lalu.

Fatehah berkata anugerah itu menjadikan beliau tekad untuk membuktikan kepada Umno dan seluruh rakyat Malaysia bahawa wanita juga boleh berjaya setaraf dengan lelaki.

"Saya akan bekerja keras untuk melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang," katanya yang akan menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Piala DuniaUCI siri kedua di London, Ahad ini.

Dua lagi penerima anugerah itu ialah Pendebat Terbaik dalam Kejohanan Debat Asia Bersatu di Singapura, Maizurah Mokhsein dan usahawan perniagaan dalam
talian Fashion Valet, Vivy Sofinas Yusof. - Bernama


Jaclyn Victor: Ilham dari kisah lalu


SELEPAS melancarkan album Ikut Rentakku pada Julai tahun lalu, penyanyi bersuara lunak, Jaclyn Victor tidak perlu menunggu lama untuk melancarkan album Inggeris pertamanya, Unleashed.

Menariknya mengenai album keenam yang menampilkan lima buah lagu termasuk sebuah lagu bonus track ini, tiga dari lima buah lagu itu ditulis sendiri oleh pemilik nama sebenar, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor.

"Ada lima buah lagu baharu, dua daripadanya iaitu Remedy dan Pinnacle ditulis oleh Yusry, manakala Over and Over, Delirious dan Sweeter Than a Dream liriknya ditulis oleh saya. Edry bertindak sebagai komposer bagi kelima-lima lagu.

"Manakala lagu bonus track adalah lagu Magical Moment, duet bersama Az Yet," katanya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai albumnya ini, Jaclyn atau lebih mesra di sapa Jac berkata, pada asalnya dia menyediakan beberapa buah lagu sebagai demo untuk single terbarunya.

Bagaimanapun ketiga-tiga lagu itu disukai oleh ramai dan KRU Music seterusnya membuat keputusan untuk menerbitkan album berbahasa Inggeris.

"Apa yang boleh saya katakan, ketiga-tiga lagu ini saya cipta berdasarkan pengalaman. Idea itu dari pengalaman. Tapi ketika menulis lirik, saya suka membayangkan satu situasi seperti Over and Over adalah sebuah lagu yang catchy seperti lagu 80-an, ia mengisahkan suasana di dalam kelab, di mana dua orang yang pada mula tidak mengendahkan dan kemudiannya saling jatuh cinta.

"Berbeza dengan lagu Delirious, lagu tersebut lebih gelap, bagaimana seorang wanita duduk dalam bilik yang gelap, paranoid. Manakala lagu Sweeter Than A Dream lebih kepada lirik yang bersifat positif. Namun keseluruhannya album ini masih berentak pop," katanya.

Jac berkata, walaupun ada sesetengah pihak menyifatkan lagu yang dinyanyikan Jac senang, namun untuk album kali ini, dia merasakan semua lagu ada cabaran yang tersendiri.

"Orang dengar senang, tapi bagi saya, saya tak suka nyanyi lagu yang senang. Bagi saya setiap lagu ada cabaran tersendiri.

"Macam album ini, ambil masa yang agak lama untuk disiapkan, memandangkan ia akan menembusi pasaran luar, jadi Edry agak teliti dalam proses rakaman dan sebagainya," katanya.


Meniti saat bahagia

Sementara itu, di tebak perihal kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga pada 19 Julai lalu dengan penyanyi kumpulan R&B Az Yet, Shawn Rivera, 43, Jac berkata, kehidupannya kini bertambah lengkap.

Ujar Jac, walaupun terpaksa berpisah buat seketika memandangkan Rivera kini berada di Amerika Syarikat (AS) kerana album yang diterbitkannya akan dilancarkan, namun mereka tetap berhubung setiap hari menerusi telefon.

"Agak susah jelaskan kehidupan saya kini, tapi apa yang boleh saya katakan, selepas berkahwin, saya rasa lebih bahagia kerana kini ada orang menjaga saya, malah kehidupan semakin stabil. Pendek kata, rasa seperti sudah dimiliki.

"Shawn (Rivera) baru sahaja pulang ke AS kerana kini dia terlibat dengan penerbitan album dan album tersebut akan dilancarkan.

"Walaupun jauh, ia tidak menjadi masalah buat kami kerana kami akan berhubung menerusi telefon setiap hari, malah dalam sehari dia akan telefon banyak kali.

"Buat masa ini, masing-masing sedang sibuk, kalau saya tak sibuk, saya akan terbang ke AS. Tapi yang pasti, kami akan merayakan Hari Jadi saya dan Hari Natal di sini bersama-sama buat kali keduanya," katanya yang sering memasak buat suaminya itu jika berkesempatan.

Di tanya mengenai perancangan karier bersama suaminya selepas ini, Jac berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berduet dengan suaminya buat masa ini, namun seandainya diizinkan syarikat rakaman, dia bersedia berduet sekali lagi bersama suaminya itu.

"Saya tak berani nak letak sebarang jangkaan kerana saya terikat dengan syarikat rakaman. Andai mereka tawarkan atau berikan keizinan untuk kami berduet, mengapa tidakkan?" katanya.

Kredit

Tiz Zaqyah kahwin sebelum usia 30 tahun!


KISAH cinta pelakon yang juga model cantik ini bukan lagi rahsia di kalangan peminat seni tempatan. Namun dia mengakui belum bersedia menamatkan zaman solonya dalam masa terdekat.

Akui Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama layarnya Tiz Zaqyah, dia bagaimanapun tidak pernah menolak jika jodohnya sudah tiba.

"Bagi saya, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Sampai masanya saya juga akan mendirikan rumah tangga seperti wanita lain.

"Cuma untuk memberikan tarikh yang sebenar memang belum diketahui lagi.

"Apa yang boleh saya katakan, saya akan berkahwin sebelum usia 30 tahun," kata pelakon berusia 26 tahun ini.

Akui bintang Kusinero Cinta ini, dia bagaimanapun kurang selesa berkongsi perkara peribadi kepada umum.

"Lebih baik bercerita mengenai karier dan perkara yang berkaitan dengannya. Lagipun itu fokus utama saya buat masa kini," jelas kekasih kepada Daniel Haziq ini.

Berkongsi perkembangan terbarunya, pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu dia bakal muncul dengan drama terbaru arahan Jehan Miskin iaitu Seludup yang akan disiarkan di Astro Prima bermula 4 Disember.

Menurut Tiz Zaqyah, Seludup merupakan drama yang sangat mencabar dan sebuah projek yang sangat dinantikan olehnya.

"Apabila mendapat tahu ia adalah projek Jehan, saya memang teruja lebih-lebih lagi selepas menonton projeknya sebelum ini, What If.

"Saya benar-benar kagum dengan dia, jadi saya fikir mengapa perlu saya menolak sedangkan ini peluang terbaik untuk menimba pengalaman daripadanya," ujarnya Seludup drama pertamanya yang mengangkat genre aksi.

Katanya, walaupun menerusi drama itu dia tidak perlu melakonkan pelbagai aksi, tetapi adegan peluknya bersama Pekin Ibrahim tetap dirasakan sukar.

"Bukan peluk penuh perasaan, sebaliknya peluk kerana ketakutan, pun begitu saya masih berasa janggal sementelah ia kali pertama saya berlakon dengannya," katanya turut mengagumi Namron dan Raja Ilya.

Dalam pada itu, Tiz Zaqyah mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon teater kerana tidak yakin dengan kebolehannya dalam bidang itu.

"Bukan takut mencuba, tetapi saya memang kurang yakin untuk berlakon teater," katanya lagi.

Diana Danielle minta maaf




“SAYA minta maaf pada media yang terasa hari itu. Saya bukannya lari, tapi saya dapat arahan dari pegawai perhubungan awam (PRO) majlis tersebut untuk pulang kerana kerja saya sudah tamat,” ujar Diana Danielle tatkala di tebak mengenai tindakannya meninggalkan sebuah majlis pelancaran produk secara terburu-buru, baru-baru ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Diana berkata, dia memang sedia maklum ada media mahu menemu bualnya selepas majlis berkenaan, namun selesai sesi fotografi, dia dimaklumkan kerjanya sudah selesai dan boleh pulang.

“Saya memang tertanya- tanya juga apa yang terjadi dengan media yang nak menemu ramah. Kebetulan pula saya baru balik dari Jakarta dan saya memang penat. Jadi mungkin mereka (PRO) fikir saya penat dan tidak mengapa untuk memberikan saya pulang terlebih dahulu.

“Tapi saya tak pernah minta balik awal ke apa dan saya memang bersedia untuk bekerjasama. Namun saya telah diberikan arahan untuk balik dan saya ikut sahaja apa yang mereka cakapkan,” jelasnya yang ditemui pada sesi pratonton filem terbaru lakonan suaminya, Farid Kamil berjudul Kaki Kitai di Puchong, Selangor, semalam.

Aktres berusia 23 tahun ini menambah, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana masing-masing mempunyai alasan yang tersendiri mengenai insiden itu.

“Saya tak salahkan mana-mana pihak. Malah, saya tidak kecewa dengan laporan negatif terhadap saya. Semua ini adalah salah faham sahaja. Saya kalau boleh tidak mahu untuk memanjangkan isu ini.

“Cuma saya berharap jika inginkan lebih penjelasan, pihak media yang melaporkan itu boleh bertanya kepada pihak PR terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, Farid Kamil yang turut di tebak mengenai isu yang melanda isterinya itu, Farid berkata mempunyai alasan dan prinsip yang tersendiri untuk tidak mencampuri urusan isterinya itu.

“Saya rasa itu semua orang perlu ada prinsip ini kerana saya rasa tidak adil untuk saya menjawab ataupun menjelaskan perjalanan seni bagi pihak seseorang. Jadi saya mengambil langkah untuk menjawab apa sahaja yang berkaitan dengan diri saya. Perjalanan karier seseorang itu, bergantung pada artis itu sendiri.

“Masalah yang ditimbulkan oleh artis seperti lari tidak menjawab dengan media adalah sebahagian daripada hidup sebagai artis. Jadi saya sebagai suami merasakan itu adalah sebahagian daripada kerjaya seni dia,” katanya.
 

Isteri Eizlan Yusof fail pengesahan lafaz cerai


 ISTERI kepada pelakon kacak, Datuk Eizlan Yusof, Datin Vie Santie Harun memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Kuala Lumpur, hari ini.

Vie Santie, 28, selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Semasa sebutan kes itu dihadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin, Peguam Syarie Syamimi Ab Rahman yang mewakili plaintif memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan tiga keterangan saksi plaintif.

"Terdapat juga beberapa permohonan lain yang berkaitan dengan perkahwinan ini sedang dibincangkan dengan defendan untuk diselesaikan," katanya.

Sehubungan itu peguam itu memohon penangguhan perbicaraan kes itu kerana  saksi-saksi plaintif yang sepatutnya memberi keterangan tidak dapat hadir.

Pada prosiding itu, pasangan itu juga tidak hadir dan berada di luar kawasan.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 44, selaku defendan tidak diwakili peguam.

Sehubungan itu mahkamah menetapkan 13 Januari tahun depan untuk menyambung semula perbicaraan dan meminta pihak-pihak hadir bersama saksi.

Eizlan yang juga merupakan penerbit eksekutif dan ahli pernigaan itu bernikah dengan Vie Santie pada 7 Julai 2007.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan  tiga cahaya mata Vie Zaara; Zareef Yusof dan Vie Zaalia berusia antara satu hingga lima tahun.

SITI AZIELAH WAHI

Pelakon cilik Puteri Balqis, pecah rekod


PELAKON cilik berbakat besar, Puteri Balqis Azizi memecah rekod apabila berjaya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama menerusi drama Balqis di Anugerah Skrin 2014 (ASK2014), kelmarin.

Kemenangan itu sekali gus memperlihatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun ini menjadi pelakon wanita termuda yang memenangi kategori berkenaan dan menewaskan nama besar dalam kategori tersebut iaitu Normah Damanhuri, Nad Zainal dan Melly Amelin.

Untuk rekod, Datin Paduka Umie Aida membawa pulang trofi berkenaan menerusi drama Aku Bukan Malaikat, tahun lalu.

Sebelum ini, Balqis pernah memenangi Anugerah Artis Harapan Pantene di Anugerah Skrin ke-16 (2012) menerusi drama Pelarian.

Di temui sebaik menerima trofi terbabit, Balqis yang selesa membahasakan dirinya dengan panggilan Aqish mengakui terkejut sebaik diumumkan sebagai pemenang.

"Ini merupakan kali kedua Aqish tercalon dalam kategori ini, kali pertama tahun lalu. Tapi tak sangka Aqish akan menang tahun ini.

"Aqish memang rasa gembira, teruja dan terkejut dengan kemenangan ini. Aqish nak ucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa Aqish, mama Eirma Fatima yang banyak memberi Aqish tunjuk ajar untuk menghayati watak ini.

"Apa pun, Aqish berlakon bukan kerana nak menang anugerah, tapi Aqish berlakon kerana Aqish mahu penonton fahami dengan lakonan Aqish," katanya kepada media.

Mengakui drama Balqis terbitan Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd itu diolah berdasarkan kisah hidupnya, anak kepada pasangan Azizi Aziz @ Adziz dan Norashikin Mohd Aziz ini mendedahkan drama tersebut tetap mencabar buatnya.

"Boleh dikatakan, 90 peratus perjalanan cerita tersebut diolah dari kisah hidup Aqish, tapi ada jugalah yang ditambah.

"Jadi agak mudah untuk Aqish menghayati watak Balqis itu dengan bantuan mama Eirma, tapi apa pun drama itu tetap mencabar kerana Aqish kena faham dengan karakter, minum banyak air dan masuk dengan karakter itu sebelum memulakan penggambaran," katanya yang mengimpikan untuk membawakan karakter kanak-kanak dirasuk selepas ini.

Aaisyah Dhia Rana jadi pilihan Zain, Che Ta


SELEPAS hampir seminggu peminat tertanya-tanya nama anak sulung pasangan selebriti popular, Zain Saidin dan Rozita Che Wan akhirnya mereka mendedahkan rahsia tersebut secara eksklusif di program HLive!

Zain dan Che Ta sepakat untuk menamakan puteri kesayangan mereka dengan nama Aaisyah Dhia Rana yang membawa maksud sinar kecantikan.

"Nama ini diberikan oleh saya sendiri dan saya suka kan nya. Sebutannya seakan-akan Aesya ," ujar Zain ketika dihubungi sebaik sahaja isteri dan anaknya dibenarkan keluar hospital.

Ditanya tentang karenah Aaisyah yang menarik perhatian Zain, pelakon sitkom Oh My English! ini terus ketawa kecil;

"Dia tak banyak karenah, sentiasa tersenyum tapi dia tidak boleh ditinggalkan. Kena sentiasa didukung dan dipeluk oleh kami berdua. Jika tinggalkan sekejap je atau tidak dipeluk dia mesti menangis."

Editorial MH

Aktress Fasha Sandha selamat lahir anak perempuan


TAHNIAH diucapkan kepada aktress, Fasha Sandha yang telah selamat bersalin anak perempuan. Bayi tersebut diberi nama Putri Raysha Jemaiman.

Media Hiburan Online melaporkan, berita gembira itu dikongsikan oleh ibu mertuanya, Raja Noora di akaun Instagram miliknya dua jam lalu.

"My latest granddaughter. #cucu Congratulations Jije and Fasha," kongsi ibu mentua Fasha.

Bayi yang baru dilahirkan merupakan anak kedua Fasha Sandha bersama suaminya, Jejai.

Aliff Aziz terpaksa mengaku bersalah


“PROSES soal siasat ambil masa yang terlalu lama walaupun saya tidak bersalah dan paling teruk pasport saya juga ditahan.

Pada masa sama, saya juga ada komitmen lain yang perlu disempurnakan termasuklah kerjaya saya di sini di mana proses pembikinan album saya juga sedang dijalankan ketika itu.

“Jadi atas nasihat peguam, saya terpaksa mengaku bersalah dan membayar denda untuk menyegerakan proses ini supaya ia tidak menjejaskan urusan lain yang tertangguh,” jelas penyanyi, Aliff Aziz berhubung dakwaan kes kecurian dua telefon bimbit, di Singapura, beberapa bulan lalu.

Mengakui dirinya tidak melakukan perbuatan itu, penyanyi berusia 24 tahun ini bagaimanapun tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak lain yang terlibat.

“Sejujurnya memang saya tidak buat perkara itu dan apa yang boleh saya katakan, saya berada di salah tempat dan masa ketika itu.

“Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan saya dan pada masa yang sama ia juga banyak memberi pengajaran buat saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.

Aliff ditemui pada majlis sidang media pra dengar album terbaharunya ‘Rebirth’ yang dijangka bakal dilancarkan pada Januari depan.

Wartawan Sinar Harian

Hanis Zalikha: ‘Saya tak kacau orang!’


NAMA Hanis Zalikha dalam dunia hiburan barang kali tidak perlu diperkenalkan lagi. Biarpun boleh dikategorikan masih hijau di dalam industri seni, namun nama Hanis pantas mendaki ke puncak populariti.

Justeru tidak hairanlah apa sahaja yang dilakukan gadis yang baru menginjak ke usia 24 tahun ini sering menjadi perhatian ramai.

Dek kerana itu jugalah satu-persatu kontroversi mula singgah dalam perjalanan karier blogger, pelakon dan pengacara ini.

Dari isu berpakaian seksi, ke kisah percintaan dan kini dikritik hebat kerana caranya berpakaian sebagai penghias muka depan sebuah majalah (bukan terbitan Kumpulan Media Karangkraf), serta dikatakan menjadi punca tersingkirnya seorang pengacara wanita kerana Hanis dikhabarkan enggan bekerjasama dengan pengacara berkenaan, terpaksa di lalui Hanis satu persatu.

Namun bagi pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid ini, segala yang berlaku diterima sebagai cabaran berkerjaya.

"Sejak awal lagi, saya memang telah diperkenalkan dengan dugaan sebegini, berani menghadapinya, dapatlah maju ke depan," katanya kepada Zass.

Enggan mengulas panjang mengenai kontroversi demi kontroversi yang timbul, Hanis bagaimanapun reda dengan segala dugaan yang berlaku.

"Kalau orang nak buat saya, saya tak boleh halang walaupun saya tak kacau orang. Saya redakan saja sebab saya yang pilih kerjaya sebegini.

"Memang sudah banyak yang saya telan dan buangkan," ujarnya lagi yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam perkembangan lain, Hanis berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Suamiku Encik Sotong. Dalam drama berkenaan, dia memegang watak sebagai Dhia.

Selain itu, dia juga masih sibuk menjalani penggambaran program Raikan Cinta musim keempat dan komitmen sebagai duta Safi Balqis, Beetalk dan SolviletTitus.

AQMAR MUSTAZA, NORHIDAYYU ZAINAL, FOTO: ROSLI TALIB

Miley Cyrus: Temui cinta baharu




SEJAK hubungan cintanya bersama bekas tunang, Liam Hemsworth, kecundang di tengah jalan, bintang ini memilih untuk tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki.

Malah, Miley Cyrus lebih memilih untuk melayari kehidupan dalam acuan sendiri tanpa dibayangi lelaki yang boleh mengongkong kehidupannya seperti dahulu.

Pun begitu, baru-baru ini, pelantun lagu, Wrecking Ball  ini dikhabarkan mempunyai hubungan istimewa bersama anak lelaki bintang terkenal Arnold Schwarzenegger.

Menurut laporan antarabangsa, Cyrus dan Patrick Schwarzenegger sering menghabiskan masa bersama selayak pasangan kekasih.

Malah, pasangan ini pernah menghabiskan waktu bersama di sambutan Halloween dan kemudian mereka bersama menuju ke kediaman putera ketiga Schwarzenneger itu untuk bersiap menghadiri pesta pada malam berkenaan.

Menerusi pengakuan daripada pelbagai sumber, mereka berdua sedang berusaha untuk membina hubungan yang lebih serius.

Namun pada saat ini, mereka masih belum memutuskan untuk bergelar pasangan kekasih, namun lebih kepada melalui fasa-fasa perhubungan.

"Mereka masih belum rasmi bercinta namun kedua-duanya sedang berusaha mencari persefahaman ke arah itu. Kini, mereka masih berkawan baik," kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, baik Cyrus mahupun Schwarzenegger, mereka memilih untuk mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan berhubungan perkara ini.

Selebriti dermawan

Selain daripada gosip cinta, Cyrus turut menjadi perhatian pada majlis amal, amFAR LA Inspiration Gala di Los Angeles.

Mana tidaknya, pelantun lagu, The Last Goodbye ini sering dihimpit dengan masalah peribadi termasuk gejala sosial dan imej yang buruk.

Pun begitu, pada majlis berkenaan, Cyrus tampil sebagai selebriti yang dermawan dengan memberi sumbangan terbanyak kepada acara amal program kesedaran HIV/AIDS.

Cyrus tampil memberi sumbangan hampir RM1.7 juta dengan membeli sebuah lukisan berharga kira-kira RM1 juta dan selebihnya dalam nilai wang ringgit.

"Sumbangan ini amat penting bagi saya kerana saya juga memiliki suara untuk berdialog mengenai pencegahan terhadap HIV/AIDS.

"Malah, saya tidak malu untuk membicarakan perkara ini terutamanya dengan anak muda. Ianya penting untuk memberi kesedaran kepada mereka," kata Cyrus menerusi portal antarabangsa.

Acara yang diadakan bagi membentuk kesedaran terhadap HIV/AIDS itu juga turut dihadiri barisan bintang terkenal termasuk Rihanna, Gwyneth Paltrow dan Justin Timberlake.

Kredit
AKMALIAH RAZAK
 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia