DO NOT MISS

Wednesday 10 September 2014

Penambah kebahagiaan

Kehadiran si kecil Irma Nur Naylie Redza yang kini berusia dua bulan menambahkan kebahagiaan rumah tangga pelakon yang kini aktif mengacara, Irma Hasmie bersama suami, Redza Syah Azmeer.

Naylie adalah cahaya mata kedua pasangan itu selepas mereka dikurniakan anak sulung, Redza Syah Irfhan yang kini berusia setahun enam bulan.

Irma Hasmie yang masih bercuti daripada mengacara bersama keluarga mentuanya mengadakan majlis kenduri kesyukuran dan doa selamat menyambut kelahiran cucu baru mereka itu, baru-baru ini.

Menurut Irma, dia yang menjaga sendiri anaknya bergilir dengan Redza sedang menyesuaikan diri untuk menjaga kedua-dua anaknya.



 IRMA Nur Naylie kini berusia dua bulan.

“Ada cadangan untuk mengambil pembantu rumah, tetapi sukar nak dapat yang boleh dipercayai selain bayaran yang sangat mahal. Dua minggu lagi saya akan mula bekerja maka terpaksalah saya dan suami bergilir menjaga mereka.


“Mujur saya mengacarakan program Assalamualaikum di TV AlHijrah dua atau tiga kali seminggu. Waktu selebihnya bolehlah saya luangkan bersama anak-anak.

“Lagipun saya tidak mahu terlepas melihat mereka membesar di depan saya setiap hari. Irfhan sudah berjalan dan nak cuba ­semua perkara. Saya juga ­berazam untuk menjalankan tanggung­jawab saya sebagai ibu dengan sebaik mungkin kerana ia adalah amanah daripada Allah SWT dan tidak mahu dipersoalkan di akhirat nanti,” katanya.

Kedua-dua anak­nya itu dilahirkan menerusi pembedahan kerana ada komplikasi.

“Ketika hamilkan ­Irfhan, air ketuban sudah pecah tetapi tiada rasa sakit nak bersalin lalu doktor menasihatkan saya menjalani pembedahan bimbang bayi lemas. Naylie pula tali pusat membelit leher dan kakinya.

“Selepas dua kali pembedahan, doktor menasihatkan saya berehat dulu selama tiga tahun sebelum menambah anak lagi,” katanya.


Jalani hidup baru

Selepas tiga tahun berhijrah, Irma menjalani fasa kehidupan yang amat membahagiakan­nya. Bukannya dia tidak rindu untuk berlakon lagi, andai kata ada watak sesuai dan di lokasi di sekitar Kuala Lumpur dia sedia menerimanya.

Irma juga menegaskan, meskipun dia mengacara di TV AlHijrah namun dia tidak terikat dengan stesen TV itu dan sedia muncul di saluran TV lain serta bercita-cita mengendalikan program sendiri terutama berkaitan dunia wanita.

“Saya tidak pernah dapat tawaran mengacara daripada stesen TV lain mungkin mereka beranggapan saya adalah ‘hak’ TV AlHijrah. Sebenarnya saya bebas bekerja dengan mana-mana stesen TV,” katanya.

Bercakap mengenai penghijrahan yang dilalui sekembalinya daripada ­mengerjakan umrah tiga tahun lalu, katanya apabila rasa nak berubah itu tiba-tiba menjelma dalam hatinya, dia tidak bertangguh untuk menyahut seruan daripada Allah SWT.

“Jangan bertangguh untuk melakukan perubahan kerana usia dan kematian tidak akan menunggu kita. Jangan beri alasan belum sampai ‘seru’ dan sebagai­nya kerana hidup kita di dunia ini hanya sementara.

“Lantaran itu dengan kesempatan yang Allah SWT beri pada saya, saya terus memanfaat­kan peluang itu dengan sebaik-baiknya kerana bimbang jika saya leka, kesempatan itu tidak akan hadir lagi.

“Kala bersendirian hati saya gundah memikirkan ibadah yang belum cukup kepada Allah SWT demi menampung keseronokan hidup sebagai anak seni yang pernah dilalui selama bertahun-tahun dulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Irma bersama Redza yang mengusahakan perniagaan pakaian Muslimah secara dalam talian jenama Debumas bercadang membuka butik kerana ramai pelanggan yang mahu melihat ‘material’ dan mencuba dulu sebelum membeli.

“Kami sedang mencari lokasi bersesuaian kerana terdapat banyak permintaan agar kami membuka butik. Ramai yang tidak puas melihatnya dalam talian kerana khuatir pakaian yang ditempah tidak sepadan dengan tubuh mereka,” katanya.

Oleh Nor Akmar Samudin

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia