DO NOT MISS

Wednesday 24 September 2014

Cinta baharu Pattinson


DESAS - DESUS mengenai hubungan pasangan selebriti muda, Robert Pattinson dan FKA Twigs mula bertebaran sejak akhir-akhir ini.

Mana tidaknya, tingkah laku mereka sebelum ini turut dirakam ketika berpegangan tangan dan bergandingan dengan penuh mesra.

Malah, baru-baru ini, mereka sekali lagi seakan memberi 'hint' kepada masyarakat bahawa ada bibit-bibit asmara yang terjalin apabila tampil mesra di depan umum.

Keluar bersama menikmati pemandangan indah pada malam Isnin lalu di sekitar kota Hollywood, mereka mempamerkan kemesraan di dalam kenderaan yang dipandu Pattinson.

Jelas kelihatan, mereka menikmati keindahan suasana kota dalam santai dan romantis sambil berbual mesra di sepanjang perjalanan.

Dalam pada itu, Twigs yang juga nama sebenarnya, Tahliah Debrett Barnett, 26, turut meletakkan kepalanya di bahu Pattinson.

Ini jelas membuktikan mereka benar-benar dilamun cinta dan sedang berbahagia walaupun belum pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu

Khabar kehamilan Twigs

Bibit perkenalan pasangan ini tidak pernah dikongsi bersama umum, namun kedua-duanya mendiami kawasan perumahan yang sama.

Seperti pasangan yang sedang hangat bercinta, Twigs dan Pattinson juga tidak terlepas daripada kontroversi yang sukar untuk ditepis.

Malah, mereka juga terpaksa berdepan dengan dakwaan mengenai kehamilan Twigs. Khabar angin ini mula beredar menerusi tulisan Twigs pada minggu lalu.

Menerusi Twitternya, Twigs memberitahu sesuatu mengenai kehamilan berbunyi, 'Saya sedang mengandung, tapi saya takkan melahirkan hingga kamu datang dalam diriku.'

Pun begitu, ramai yang tertanya-tanya mengenai kenyataan bintang Two Weeks ini dan ada yang mengandaikan ia hanyalah luahan ataupun lirik lagu baharunya.

Bagaimanapun, Twigs bukan wanita pertama yang dikhabarkan mempunyai hubungan dengan Pattinson selepas bintang ini berpisah dengan Kristen Stewart. Sebelum ini, Pattinson turut mendekati Riley Keough dan  beberapa wanita cantik lain.

Stewart masih tagih cinta?

Sebelum Pattinson dikaitkan rapat dengan Twigs, ramai yang menganggap Kristen Stewart, masih ada harapan untuk memenangi hati bekas kekasihnya itu.

Malah, Stewart juga dilihat sedaya upaya memberikan yang terbaik agar dirinya kembali dalam pelukan Pattinson.

Pun begitu, setelah berita cinta Pattinson dan Twigs mula diketahui umum, bagaimana pula ekspresi bintang Twilight ini?

Menurut laporan antarabangsa, Stewart yang kelihatan bergegas menaiki pesawat ke Jepun, kelihatan sugul dan seboleh-bolehnya mahu menjauhi media. Wajahnya dingin tanpa senyuman, malah tiada langsung sapaan.

Saat diterjah dengan pelbagai pertanyaan, Stewart hanya mendiamkan diri dan terus berlalu dengan mengunci mulut. Stewart juga mengabaikan setiap panggilan dan pertanyaan dengan memakai kaca mata hitam serta earphone.

Menurut sumber terdekat, Stewart tidak tenang selepas mengetahui perkara itu kerana dirinya masih belum berjaya melupakan kenangan bersama bekas kekasihnya itu.

Kata sumber, dia yang kini sedang sibuk menjayakan filem, Equals  sukar melupakan Pattinson dan menyesali atas perbuatannya sebelum ini.

Terdahulu, Stewart dan Pattinson mula menjalinkan hubungan setelah sama-sama membintangi filem, Twilight. Namun, Pattinson nekad meninggalkan Stewart setelah wanita itu mencurangi dirinya dengan sutradara terkenal, Supert Sanders.

Pattinson lupa 'kenangan lalu'

Bebas untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita, Pattinson sebelum ini mengakui bahawa Stewart hanyalah 'kenangan lalu' baginya.

Memberitahu hubungan mereka sudah lama berakhir, Pattinson sukar untuk menerima Stewart kembali walaupun pernah mencuba.

Malah, Pattinson berkata, dia mula muak dengan apa yang berlaku dan rimas dengan pertanyaan ramai mengenai statusnya bersama bekas kekasih.

"Ini memang perkara yang paling berat untuk dibicarakan kerana jika diluahkan, hal ini boleh mempengaruhi peribadi orang lain tanpa kita duga," katanya dalam satu wawancara.

Pun begitu, Pattinson memberitahu bahawa dia tidak pernah menyimpan dendam apatah lagi mengharapkan yang buruk buat bekas kekasihnya.

"Saya sudah lama melupakan hal itu dan saya telah memaafkannya. Namun, untuk kembali bersama, ia adalah sesuatu perkara yang rumit dan tidak mungkin berlaku.

"Saya menghormatinya sebagai kawan dan tidak menolak untuk berkawan baik dengannya," kata Pattinson sebelum ini.

AKMALIAH RAZAK

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Astinaz Aksesoriz Andamanz . Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia