PASANGAN selebriti ini mengakui kehidupan mereka lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata tercinta, Jelita Clarissa, 9 bulan.
Menurut Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 34, tiada apa yang lebih
bererti dalam melayari rumah tangga apabila dikurniakan puteri sulungnya
itu.
Lebih dikenali sebagai Beego, katanya, dia dan isteri, Linda Hashim,
31, lebih selesa menguruskan anak mereka sendiri dan tidak akan sesekali
meninggalkannya dengan pengasuh buat masa ini.
"Kami memang tidak berani untuk meletakkan Jelita di bawah jagaan pengasuh.
"Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini banyak kejadian-kejadian
kurang baik yang berlaku di kalangan anak-anak di bawah jagaan pengasuh
mereka.
"Jadi lebih baik kami berhati-hati sebelum perkara tersebut terjadi
kepada anak kami," katanya turut mendapat bantuan keluarga menjaga
Jelita.
Jelas pelakon drama bersiri Pulang Sayang ini, sebelum ini dia tidak
mengalami kesukaran menguruskan Jelita kerana bercuti daripada berlakon
buat seketika.
"Kebetulan ketika itu isteri juga tidak bekerja, jadi kami punya banyak masa untuk menjaganya.
"Cuma sekarang, bukan sahaja saya, sebaliknya isteri juga mendapat tawaran lakonan dalam masa sama," ujarnya.
Dalam pada itu, Linda turut mengakui, kerana bimbang meninggalkan
Jelita di rumah bersama pengasuh, dia telah mengupah dua orang pembantu
untuk menjaga anaknya itu di lokasi penggambaran.
"Jelita masih bayi dan menyusu badan. Dalam usianya yang sedang membesar, sukar untuk saya tinggalkannya.
"Kerana itu saya mengambil inisiatif untuk mencari pembantu dan membawa mereka ke lokasi.
"Selain memudahkan saya memantau keadaan anak, saya juga tidak perlu berasa bimbang," jelasnya.
Kongsi pelakon Ayahku Kahwin Lagi ini, dia sebenarnya sangat lega
kerana pihak produksi memberi kepercayaan kepadanya untuk membawa anak
ke tempat kerja.
"Mula-mula risau juga, tetapi syukur pihak produksi sangat memahami.
Malah anak saya juga tidak banyak ragam ketika di bawa bersama.
"Bagaimana pun, ini bukan bererti saya akan kembali aktif berlakon buat
masa terdekat. Sebaliknya, saya hanya cenderung memilih kerja-kerja
yang tidak memerlukan saya meninggalkan anak dalam masa yang lama.
"Selepas anak besar sedikit barulah saya akan terima projek yang lebih
besar," katanya yang baharu sahaja muncul dengan drama komedi terbaru
berjudul Anak Ke 5 di TV9.
Tanggungjawab besar
Meskipun rezeki Beego dalam bidang lakonan masih rancak, namun dia
sedar sebagai seorang bapa dia perlu mencari pelbagai alternatif untuk
memastikan kehidupan keluarganya terjamin.
Katanya, kerana itu dia sedang berjinak-jinak untuk menceburi bidang perniagaan.
"Bidang lakonan ada pasang surutnya, sekarang tengah popular, bila dah berusia mungkin akan kurang tawaran yang diterima.
"Sebelum apa-apa berlaku, saya perlu bersedia. Lagipun saya sedar tanggungjawab terhadap keluarga semakin besar," katanya.
Kerana itu, Beego juga tidak kisah jika terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan dalam masa yang sama.
"Apa yang saya lakukan semata-mata untuk kebahagiaan isteri dan anak.
Saya tidak kisah penat demi kepentingan mereka," kata bekas kumpulan
Phyne Ballerz ini.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, selain muncul menerusi drama
bersiri Keluarga Karaoke di Astro Prima 9 Februari nanti, dia juga dalam
perancangan untuk kembali bersama Phyne Ballerz.
"Salah seorang ahli kumpulan Nine, telah menyuarakan untuk kami membuat 'comeback' dan lahirkan single baru.
"Saya menyambut baik cadangannya dan kami telah berbincang mengenai perkara ini.
"Apa pun, kami mahu mencari lagu yang benar-benar sesuai kerana
pendengar masa kini berlainan selera mereka," katanya berharap peminat
menerima kehadiran mereka kembali.
MARINA SAHABUDIN